X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Sejarah gemilang KL City

Pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) bergambar bersama Presiden KL City Tan Sri Annuar Musa serta pihak pengurusan dan kejurulatihan bagi meraikan kejayaan KL City yang merangkul kejuaraan TM Piala Malaysia 2021 selepas menewaskan JDT 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.- Foto Bernama
A
A

KUALA Lumpur (KL) City FC mengakhiri penantian selama 32 tahun apabila muncul juara Piala Malaysia selepas menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Disiplin tinggi yang dipamerkan skuad The City Boys serta ketangkasan penjaga gol, Kevin Ray Mendoza Hansen dilihat sebagai kunci utama mereka menjulang Piala Malaysia kali ini.

Dalam tempoh 45 minit pertama perlawanan, JDT nyata terlalu garang apabila memperoleh beberapa percubaan terbaik bagi merobek gawang KL City khususnya menerusi penyerang berbisa, Bergson Gustavo Da Silva.

Peluang pertama skuad Harimau Selatan itu hadir seawal minit kesembilan apabila percubaan Bergson sekadar singgah di tiang gol KL City tatkala Kevin Mendoza sudah tertewas.

Kevin Mendoza kemudiannya bertindak cemerlang apabila menafikan tandukan Mauricio Nascimento susulan sepakan percuma diambil Arif Aiman Hanapi pada minit ke-37.

Seminit kemudian, tandukan Safawi Rasid dan rembatan Bergson dari luar kotak penalti pada minit ke-43 juga mudah dinafikan penjaga gol skuad kebangsaan Filipina itu.

Aksi babak kedua memperlihatkan kemampuan sebenar KL City yang seakan-akan mendapat tonik baharu bagi menggempur kubu JDT.

Hasilnya skuad kendalian Bojan Hodak itu berjaya memperoleh gol pertama hasil jaringan Zhafri Yahya yang menyudahkan hantaran lintang J Partiban pada minit ke-66.

Kapten KL City, Paulo Josue menggamamkan kem JDT apabila meledak gol kedua The City Boys selepas menerima umpanan Ryan Lambert pada minit ke-74.

JDT yang berusaha keras untuk mendapatkan jaringan terus kempunan apabila Kevin Mendoza tampil cemerlang bagi memastikan gawangnya tidak dibolosi sehingga wisel penamat dibunyikan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!