Laungan hak LGBT gugat kestabilan, keharmonian negara

A
A

MAJLIS Belia Malaysia (MBM) ingin menarik perhatian belia dan rakyat Malaysia terhadap kejadian laungan hak LGBT sempena perarakan Hari Wanita di Dataran Merdeka baru-baru ini.

MBM mengambil masa untuk memberikan respons bagi mengumpul fakta dan memahami latar peristiwa agar pendirian MBM benar-benar adil.

MBM berpandangan perarakan Hari Wanita wajar memfokuskan kepada isu-isu pokok berkaitan hak-hak wanita, keganasan gender, gaji minima, keganasan domestik dan perkahwinan kanak-kanak di bawah umur.

Tanpa menafikan hak kebebasan bersuara namun laungan hak LGBT sengaja mengundang provokasi kepada majoriti masyarakat yang menolak gaya hidup LGBT kerana bertentangan dengan budaya bangsa Malaysia, keagamaan dan adat ketimuran.

Kebebasan ada had dan batasannya yang disempandani dengan batasan Perlembagaan, undang-undang, agama dan norma-norma masyarakat.

Peserta himpunan tersebut wajar tidak mengundang "unnecessary provocation" yang merosakkan ketenangan dan kestabilan masyarakat kerana keamanan terlebih penting untuk diutamakan.

MBM juga menasihatkan agar setiap himpunan mempunyai permit dan mengikut lunas-lunas undang-undang.

MBM juga yakin pendirian Perdana Menteri dan Kerajaan menolak budaya hidup LGBT sambil menegaskan golongan LGBT tidak wajar didiskriminasikan hak-hak mereka sebagai warga Malaysia seperti peluang pekerjaan dan kehidupan.

JUFITRI JOHA

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)

12 Mac 2019


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.