Polis rampas 5.95kg heroin, tahan seorang lelaki

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Datuk Mohamad Mat Yusop (dua, kanan) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas dari seorang lelaki seberat 5,950 Gram dianggarkan bernilai RM104,000 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan hari ini. - Foto Bernama
Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Datuk Mohamad Mat Yusop (dua, kanan) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas dari seorang lelaki seberat 5,950 Gram dianggarkan bernilai RM104,000 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan menahan seorang lelaki dan merampas dadah dipercayai heroin yang dianggar seberat 5.95 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM104,000 dalam serbuan di Seremban, Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Datuk Mohamad Mat Yusop berkata suspek berumur 25 tahun yang dipercayai pengedar dadah itu ditahan pada kira-kira pukul 4.30 petang dalam operasi polis di satu lokasi yang disyaki menjadi tempat pengedaran dadah di sini.

Beliau berkata dadah itu ditemui dalam kereta suspek yang ditahan semasa polis membuat pemerhatian di sekitar Seremban Getaway, di sini dan menurutnya selain dadah, polis turut menyita barang kemas bernilai RM2,263 yang ditemui dalam kenderaan itu

“Suspek didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau dan kini ditahan reman selama tujuh hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya ketika ditahan suspek yang dipercayai bekerja sebagai pembantu landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru, singgah di kawasan berkenaan semasa dalam perjalanan menuju arah Lembah Klang, Selangor. - Bernama

Artikel Berkaitan: