Isu kailan ikan masin mahal: KPDNHEP keluar notis kepada peniaga

Laporan Sinar Harian mengenai isu tular di media sosial berhubung harga sebungkus masakan sayur kailan ikan masin dijual pada harga RM18 di sebuah restoran di Kepala Batas pada Ahad.
Laporan Sinar Harian mengenai isu tular di media sosial berhubung harga sebungkus masakan sayur kailan ikan masin dijual pada harga RM18 di sebuah restoran di Kepala Batas pada Ahad.
A
A
A

KEPALA BATAS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada peniaga sebuah restoran berhubung hantaran di media sosial mengenai hidangan kailan ikan masin pada harga RM18.

Dalam kenyataan pada Isnin, KPDNHEP Pulau Pinang berkata, peniaga itu perlu memberi maklum balas berhubung NPMB dalam tempoh dua hari bekerja bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

"Pihak KPDNHEP Pulau Pinang menerima makluman berkaitan isu yang ditularkan 'harga terlalu mahal tidak setara kuantiti yang diberikan' melalui media sosial oleh seorang pelanggan mengenai hidangan kailan ikan masin yang dikatakan mahal, semalam (Ahad).

"Berikutan itu penguat kuasa kami telah pun ke lapangan (restoran) untuk menyiasat aduan itu semalam (Ahad) dan mengeluarkan satu notis NPMB kepada peniaga restoran berkenaan, dan (mereka) perlu memberi maklum balas dalam tempoh dua hari kepada KPDNHEP Pulau Pinang," menurut kenyataan itu.

Pada Ahad, menerusi hantaran di Facebook (FB) itu, seorang pelanggan memuat naik resit memaparkan harga keseluruhan makanan sebelum ia tular, dan individu terbabit terkejut apabila sebungkus kailan ikan masin dijual pada harga RM18. - Bernama

Artikel Berkaitan: