Sarawak negeri paling tinggi terima dos penggalak

Sarawak menjadi negeri penerima dos penggalak paling tinggi di negara ini apabila 30.4 peratus populasi dewasanya telah menerima dos berkenaan setakat Sabtu lepas. - Gambar hiasan
Sarawak menjadi negeri penerima dos penggalak paling tinggi di negara ini apabila 30.4 peratus populasi dewasanya telah menerima dos berkenaan setakat Sabtu lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sarawak menjadi negeri penerima dos penggalak paling tinggi di negara ini apabila 30.4 peratus populasi dewasanya telah menerima dos berkenaan setakat Sabtu lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ia meliputi 602,180 penduduk dewasa di negeri itu.

“Sarawak merupakan negeri pertama melaksanakan dos penggalak dan dos tambahan bermula 13 Okt lalu, kadar sasaran pemberian dos penggalak bagi Sarawak ialah 2,042,700 individu,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang bertanya sejauh manakah Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi negeri Sarawak dan Parlimen Igan.

Menjelas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, bagi liputan vaksin negeri Sarawak, sehingga 27 Nov, sebanyak 75 peratus penduduk negeri itu telah mendapat dos lengkap vaksin.

Katanya, ia meliputi 91.1 peratus penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas dan 85.9 peratus golongan remaja.

Bagi Parlimen Igan pula, beliau berkata, sejumlah 86.9 peratus penduduk di kawasan itu telah menerima dos lengkap vaksin setakat 25 November lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: