Sewa, jual rumah PPR: Pemilik berdepan penjara: Zuraida

ZURAIDA
ZURAIDA
A
A
A

PUTRAJAYA - Penyewa dan pemilik Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang didapati melanggar kontrak perjanjian bakal berdepan tindakan tegas termasuk boleh dikenakan hukuman penjara sekiranya didapati bersalah, kata menterinya, Zuraida Kamaruddin.

Menurutnya, kementerian memandang serius isu berkenaan penyewa dan pemilik PPR yang memberi sewa atau menjual unit kediaman mereka kepada pihak lain.

“Secara jelas syarat penyewaan dalam Kontrak Perjanjian Penyewaan Rumah PPR telah tertera klausa yang menetapkan bahawa, penyewa tidak dibenarkan memberi sewa atau melepaskan pemilikan rumah kepada orang lain, sama ada secara penuh (untuk keseluruhan rumah ataupun sebahagian (sewaan bilik).

“Di dalam perjanjian penjualan rumah PPR pula, terdapat syarat yang telah dipersetujui di dalam Perjanjian Jual Beli & Surat Akuan Bersumpah, bahawa setiap unit PPR yang dibeli adalah “Untuk diduduki oleh pembeli dan tidak akan disewakan kepada orang lain.

“Mereka yang melanggar syarat ditetapkan boleh dikenakan penjara tiga (3) tahun atau denda oleh mahkamah mengikut Akta Akuan Berkanun 1960, sekiranya didapati bersalah,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, KPKT juga akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang mengiklankan penjualan atau penyewaan PPR melalui hebahan umum, termasuk melalui portal sewa dan beli hartanah ataupun melalui media sosial.

“Maklumat yang sahih dan sah mengenai penyewaan dan pembelian unit kediaman PPR hanya akan dipaparkan di laman sesawang rasmi Jabatan Perumahan Negara KPKT, http://ehome.kpkt.gov.my,”katanya.

Artikel Berkaitan: