Banjir di Kelantan dijangka terkawal

Tuan Ibrahim (kanan) menunjukkan denai yang dibina berhadapan Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi di Pasir Mas yang dilawati pada Ahad.
Tuan Ibrahim (kanan) menunjukkan denai yang dibina berhadapan Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi di Pasir Mas yang dilawati pada Ahad.
A
A
A

PASIR MAS - Banjir pada musim tengkujuh di Kelantan kali ini dijangka tidak seburuk bencana alam yang dialami dalam sejarah pada tahun 2014.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sehingga kini taburan hujan di negeri ini direkodkan sebanyak 1,825 mililiter (mm) daripada jumlah purata hujan tahunan sebanyak 2,700 mm.

“Jumlah itu 68 peratus daripada jumlah purata hujan tahunan dan berbaki 875 mm atau 32 peratus taburan hujan.

“Hanya tinggal beberapa episod hujan dan insya-ALLAH kita jangka banjir di Kelantan tahun ini tidak besar seperti tahun-tahun sebelum ini termasuk pada Disember 2014,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, di sini.

Menurut beliau, mengikut trend semasa hujan lebih beralih ke kawasan pantai barat berbanding pantai timur.

“Kita bagaimanapun sudah membuat persiapan bagi menghadapi banjir, berusaha dan kemudian berdoa kepada Allah SWT.

“Paling penting, kita bersama-sama berusaha menjaga persekitaran termasuk sampah-sarap seperti plastik yang perlu diurus dengan baik bagi mengelak banjir kilat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan projek penstabilan tebing sungai tersebut, beliau berkata, kerja-kerja pembinaan yang bermula pada Ogos lalu itu sudah mencapai kemajuan sebanyak 42.65 peratus berbanding 38.5 peratus mengikut jadual yang ditetapkan dan dijangka siap sepenuhnya 3 Mei tahun depan.

“Jangkaan awal projek ini adalah 38.5 peratus, namun ia melebihi sasaran apabila pembinaannya lebih cepat dan kesemua kerja di bahagian bawah sudah dicapai.

“Kita berpuas hati kerana projek mencapai sasaran kementerian menjelang 100 hari Inspirasi Keluarga Malaysia dan diharap usaha ini dapat mengurangkan impak sekiranya berlaku banjir,” katanya.

Pada perkembangan sama, beliau berharap rizab sungai di negara ini tidak diceroboh kerana lokasi itu akan dijadikan sebagai kawasan rekreasi.