X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

Bukan perkara luar biasa pemain berhijrah: Sanusi

Muhammad Sanusi
A
A

PENGHIJRAHAN pemain bola sepak profesional merupakan perkara biasa dalam sesebuah pasukan terutama apabila musim baharu liga akan bermula.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sudah menjadi adat dalam pertandingan bola sepak sekiranya pemain dipancing oleh pasukan lawan.

Menurut beliau, perpindahan pemain lazimnya didorong oleh faktor tawaran gaji yang lumayan, bakat pemain yang berkemahiran tinggi dan kesesuaian dalam pasukan.

“Biasalah, pemain profesional tukar haluan dan pilih pasukan lain dalam musim perpindahan ini. Kita tak boleh nak sekat hasrat mereka sebab banyak faktor yang membuatkan pemain itu kekal atau berhijrah,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Muhammad Sanusi berkata, keserasian dalam pasukan antara jurulatih, pemain, pegawai dan pengurusan juga penting dalam memastikan setiap pemain terus setia bersama pasukan.

“Semangat kenegerian sudah tidak wujud lagi. Orang Pahang bermain untuk pasukan Kedah, orang Kedah main untuk Selangor. Ada pemain dari luar negara seperti Australia, Brazil pun sanggup rentas negara bermain untuk Johor,” ulasnya lagi.

Ujar beliau, penghijrahan pemain bukanlah sesuatu yang luar biasa dan lumrah dalam mana-mana pasukan termasuk Kedah.

“Pasukan bola sepak adalah kelab sukan swasta yang bersaing dengan liga yang hadiahnya tidak berbaloi berbanding pendapatan. Inilah liga Malaysia,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika diminta mengulas ura-ura enam tonggak KDA FC iaitu Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Fayadh Zulkifli, Anumanthan Kumar, Renan Alves dan Rabih Ataya bakal meninggalkan pasukan itu.

Difahamkan akan berlaku rombakan besar-besaran dalam pasukan KDA FC bagi musim hadapan apabila enam pemain utama Kedah tidak akan disambung kontrak dan bakal berpindah ke pasukan baharu.

Turut bertiup kencang, pemain kesayangan peminat Lang Merah, iaitu Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali yang dikatakan bakal berhijrah ke pasukan Sabah FC untuk bergabung di bawah Datuk Ong Kim Swee.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!