X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

Raja sehari bersanding di rumah rakit

Faizuan bersama pasangannya, Nora Amira memilih persandingan secara unik itu kerana pemandangan indah berlatar Sungai Pahang.
A
A

PEKAN - Demi mengabadikan detik bahagia sebagai raja sehari, sepasang pengantin menaiki bot menyusuri Sungai Pahang sebelum bersanding di atas rumah rakit di Kampung Ganchong Tengah, pada Sabtu.

Faizuan Abdul Ghani, 26, dan pasangannya, Nora Amira Mohd Sofi, 23, memilih persandingan unik itu kerana teruja dengan pemandangan indah berlatar Sungai Pahang.

Menurut Faizuan, idea untuk mengadakan majlis persandingan di atas rumah rakit tercetus secara spontan selepas dicadangkan oleh bapa mentuanya, Mohd Sofi Abd Rahim.

"Saya setuju dengan cadangan bapa mertua dan persandingan ini adalah kenangan untuk saya dan isteri. Jadi, apa salahnya kalau saya buat kelainan sikit supaya ia menjadi kenangan paling indah untuk kami dan ahli keluarga kenang.

"Jujurnya, saya dan isteri sangat tertarik dengan suasana di sekitar rumah rakit ini, tambahan pula suasana tenang di rumah rakit, ia memang sesuai untuk mengabadikan hari bersejarah kami di sini," katanya ketika ditemui selepas majlis persandingan di rumah rakit De Pora Jembara, di Kampung Ganchong Tengah pada Sabtu.

Sementara itu, Nora Amira yang bertugas sebagai pembantu pegawai tadbir di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan mengakui agak gementar ketika menaiki bot di Sungai Pahang kerana itu adalah pengalaman pertamanya.

Faizuan bersama pasangannya, Nora Amira dibawa menaiki bot menyusuri Sungai Pahang sebelum bersanding di atas rumah rakit di Kampung Ganchong Tengah, Pekan pada Sabtu.
Faizuan bersama pasangannya, Nora Amira dibawa menaiki bot menyusuri Sungai Pahang sebelum bersanding di atas rumah rakit di Kampung Ganchong Tengah, Pekan pada Sabtu.

Menurut Nora Amira, perasaan itu hilang setelah suaminya memberi kata-kata semangat dan jaminan semuanya selamat.

"Ini pertama kali saya naik bot dan kalau kita lihat semua aspek keselamatan diambil kira, terutamanya pemakaian jaket keselamatan dan pemandu bot juga sangat berpengalaman," katanya.

Nora Amira mengakui walaupun dibesarkan di Kuantan, namun Kampung Ganchong Tengah bukanlah tempat yang asing baginya kerana pernah menetap di situ bersama emak saudaranya.

Ujar beliau, majlis persandingan bersama Faizuan berjalan lancar seperti dirancang dan mendapat sokongan daripada seluruh ahli keluarga.

"Saudara mara yang menetap di kampung berkenaan turut membantu menguruskan perjalanan majlis berkenaan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!