[VIDEO] Renjat ayam hingga mati: Syarikat pembekal, dua pengarah, pengurus, pekerja didakwa isu halal

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Sebuah syarikat pembekalan penyembelihan ayam, dua pengarah, seorang pengurus dan seorang pekerjanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas pertuduhan membekalkan 6,555 kilogram (kg) ayam dengan memperdayakan pengguna bahawa produk berkenaan halal, selain bersubahat dalam kesalahan itu bulan lalu.
Syarikat Ayam Segar BM (M) Sdn Bhd selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu menerusi wakilnya, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, 'Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid.
Turut mengaku tidak bersalah ialah empat OKS iaitu pengarah syarikat, Zafirah Karim, 36; seorang lagi pengarah warga Bangladesh, Tanjena Akter Mollah, 35; pengurus warga Bangladesh, Hossain Saddam, 34; dan pekerja warga tempatan, Abdul Rahim Ariff Ali, 34.

Mengikut pertuduhan, Zafirah yang juga warga tempatan, Tanjena Akter dan Hossain atas jawatan masing-masing, didakwa membekalkan 6,555 kg ayam yang disembelih dan diproses, dengan representasi yang boleh memperdayakan mana-mana orang, bahawa makanan berkenaan halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong di sini jam 12.45 tengah malam pada 30 Oktober.
Pertuduhan terhadap syarikat dikemukakan mengikut Subperenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah Subperenggan 5(a) perintah sama.
Jika sabit kesalahan, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM5 juta.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, syarikat boleh didenda maksimum RM10 juta atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, pengarah dan pengurus terbabit didakwa mengikut Seksyen 65 Akta Perihal Dagangan 2011, yang disifatkan mereka melakukan kesalahan di bawah Subperenggan 4(1) perintah sama.
Pertuduhan itu boleh dihukum mengikut Subperenggan 5(b) perintah berkenaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, mereka boleh didenda maksimum RM5 juta atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Bagi satu pertuduhan dihadapi Abdul Rahim, pekerja itu didakwa bersubahat dengan syarikat terbabit untuk membekalkan ribuan ayam yang sudah disembelih dan diproses dengan representasi yang boleh memperdayakan orang ramai bahawa makanan berkenaan halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi, masa dan tarikh sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subperenggan 4(1) perintah sama, yang boleh dihukum di bawah Subperenggan 5(b), dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Mohd Sophian Zakaria dan Norhashimah Hashim.
Zafirah, Tanjena Akter dan Hossain diwakili peguam, Bernard Francis sementara Abdul Rahim tidak diwakili peguam.
Selepas mendengar permohonan semua pihak, 'Ainul Bashiirah Dona membenarkan dua OKS warga Malaysia iaitu Zafirah dan Abdul Rahim diikat jamin RM35,000 dengan dua penjamin.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada setiap awal bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap dua lagi OKS warga Bangladesh, Tanjena Akter dan Hossain.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Januari 2027 bagi penyerahan dokumen.
'Ainul Bashiirah Dona turut membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes dihadapi semua OKS dibicarakan bersama.
Pada 30 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan taktik merendam ayam dalam air berarus elektrik sebelum disembelih terbongkar menerusi serbuan di sebuah gudang di Puchong.
Serbuan menerusi Op Taring Chiller pada waktu tengah malam itu membawa kepada penahanan 12 lelaki warga asing serta rampasan 6,555 kg ayam mentah yang dianggarkan bernilai RM85,400.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

