Sekarang siapa rugi?

Momen-momen insiden Safiq-Faisal semasa perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, pada Jumaat. (Gambar kecil: Khalid Ali)
Momen-momen insiden Safiq-Faisal semasa perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, pada Jumaat. (Gambar kecil: Khalid Ali)
A
A
A

PEMAIN Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) yang akan berentap pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini digesa tidak terikut emosi melayan provokasi lawan bagi memastikan edisi ke-100 berjalan lancar tanpa dicemari insiden-insiden tidak diingini.

Menurut legenda bola sepak negara, Khalid Ali, insiden melibatkan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim yang menanduk pemain Terengganu FC, Faisal Halim sehingga dilayangkan kad merah pada separuh akhir kedua Piala Malaysia pada Jumaat sepatutnya tidak berlaku dalam perlawanan berintensiti tinggi itu.

Tegasnya, insiden menanduk lawan tidak seharusnya berlaku dalam era bola sepak profesional tambahan pula ia berlaku pada saingan trofi paling berprestij arena bola sepak tanah air sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan.

“Tindakan menanduk Faisal tidak sepatutnya dilakukan oleh Safiq apatah lagi pada ketika itu JDT sedang selesa mendahului 3-0 dan hampir pasti melangkah ke final Piala Malaysia.

“Safiq sebagai bekas kapten pasukan negara, dia seorang pemain yang berpengalaman. Tetapi mungkin atas faktor usia yang semakin lanjut dan mungkin kerana kepenatan, dia boleh bertindak sebegitu rupa.

“Lagi pun, bola sepak sekarang laju dan mungkin dia penat. Namun bagi saya, tindakan itu sememangnya tidak wajar dilakukannya. Sekarang siapa yang rugi apabila tidak boleh bermain pada perlawanan akhir?,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu, bekas kapten skuad kebangsaan tersebut dilayangkan kad merah selepas menanduk Faisal pada minit ke-15 ketika tuan rumah selesa mendahului pelawat 3-0.

Insiden tercetus selepas tuan rumah meledak gol ketiga, Safiq terlebih dahulu mengasari Faisal yang cuba melepasi kawalan pemain pertahanan Harimau Selatan, S Kunanlan.

Artikel Berkaitan:

Faisal kemudian dilihat menjerit ke arah Safiq menyebabkan pemain berusia 34 tahun itu terus 'menanduk' Faisal sekali gus dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan.

Bagaimanapun insiden itu tidak menjejaskan momentum Harimau Selatan yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk melakar kemenangan 4-1 secara agregat untuk ke final setelah terikat 1-1 pada aksi di Stadium Sultan Zainal Abidin sebelum ini.

Insiden Safiq-Faisal secara tidak langsung mengimbau kembali tandukan ala bekas kapten Perancis, Zinedine Zidane terhadap pemain Itali, Marco Matterazzi pada aksi final Piala Dunia beberapa tahun lalu.

Mengulas khidmat pengadil bagi aksi final Piala Malaysia, Khalid berkata, dia bersetuju sekiranya khidmat pengadil dari luar negara digunakan dalam perlawanan akhir edisi ke-100 berkenaan.

Katanya, pengadil yang dilantik nanti juga diharapkan tidak ada kena mengena dengan pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

“Sudah banyak kita lihat atau baca berhubung rintihan pasukan-pasukan yang beraksi dalam Liga-M berhubung tindak tanduk pengadil yang mengadili perlawanan.

“Bagi saya pada final Piala Malaysia musim ini, biarlah ia diadili oleh pengadil luar negara, bukannya memilih, tetapi jika pengadil tempatan dipilih mungkin akan timbul ‘cerita-cerita’ lain nanti,” katanya.