X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

'Perak akan dapatkan semula peruntukan bangunkan Bagan Datuk'

Saarani (kanan) bersama Ahmad Zahid ketika Sesi Townhall Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) Usahawan di Dewan Dato’ Lope Hashim, di Bagan Datuk pada Sabtu.
A
A

BAGAN DATUK - Kerajaan Perak akan berusaha mendapatkan kembali peruntukan yang telah ditarik balik kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi pembangunan daerah Bagan Datuk.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, peruntukan sebelum ini telah diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) oleh Barisan Nasional (BN) ketika Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Menurutnya, bagaimanapun lebih separuh peruntukan untuk membangunkan daerah Bagan Datuk tersebut telah dipotong oleh kerajaan pusat ketika itu.

"Ketika itu setelah BN tak menang, kerajaan PH, pada waktu itu telah memotong lebih 50 peratus bajet yang telah diluluskan termasuklah Bagan Datuk Water City.

"InsyaALLAH kita akan mencari balik peruntukan yang telah diluluskan tetapi dibatalkan itu. Maka sekarang ini Perdana Menteri daripada UMNO-BN kita kena cari balik untuk membolehkan kawasan Bagan Datuk membangun setanding seperti daerah lain untuk kebajikan rakyat," katanya kepada pemberita selepas Sesi Townhall Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) Usahawan di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini pada Sabtu.

Saarani berkata, sebagai daerah baharu di Perak, peruntukan untuk membangunkan kawasan itu diperlukan bagi memberikan keadilan kepada penduduk di Bagan Datuk.

Katanya, pembangunan yang telah dirancangkan sebelum ini perlu diteruskan sebagai menghargai penduduk di daerah ke-12 itu.

Pada tahun 2018, kerajaan mengumumkan penangguhan pelaksanaan pembangunan Bagan Datuk Water City bagi mengkaji semula pemberian dana yang diperuntukkan.

Bagaimanapun tanah seluas kira-kira 47 hektar di Mukim Bagan Datuk bagi pembangunan Bagan Datuk Water City itu mencetuskan kontroversi apabila penduduk membantah projek pembangunan kolam udang di kawasan itu.

Tanah milik kerajaan negeri tersebut pada asalnya dimajukan dengan tanaman kelapa sawit oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) yang kemudiannya diambil alih Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) bagi tujuan pembangunan Bagan Datuk Water City di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Sementara itu, mengenai program Mesra di daerah Bagan Datuk, Saarani berkata, beliau bersama-sama kepimpinan negeri telah melawat premis petani, peniaga dan usahawan yang meliputi pelbagai kategori dan peringkat di sekitar kawasan Bagan Datuk.

Menurutnya, majoriti mereka yang terkesan akibat Covid-19 telah mendapat manfaat daripada program dan bantuan yang diberikan kerajaan apabila jualan perniagaannya mula naik kembali.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!