Kuala Rajang, Tanjung manis dicadang jadi pusat utama

Annuar (depan, dua kanan) melancarkan satelit jalur lebar (VSAT WiFi) untuk Kampung Sebayang pada Program Kembara Connectivity Sarawak di Rumah Panjang Baki Kampung Sebayang pada Sabtu. - Foto Bernama
Annuar (depan, dua kanan) melancarkan satelit jalur lebar (VSAT WiFi) untuk Kampung Sebayang pada Program Kembara Connectivity Sarawak di Rumah Panjang Baki Kampung Sebayang pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

MUKAH - Kawasan Kuala Rajang dan Tanjung Manis di sini dicadangkan sebagai nod utama bagi kesalinghubungan di wilayah tengah Sarawak susulan kedudukannya yang strategik sebagai gerbang pusat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mencadangkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memandangkan kawasan itu merupakan pusat kegiatan ekonomi yang sedang rancak berkembang termasuk dengan kewujudan pusat perindustrian, pelabuhan dan pusat perikanan laut dalam.

Menurutnya, dari segi lokaliti, ia satu kedudukan strategik dan menjadikan ia jendela bagi Sarawak ke dunia luar terutama dalam bidang berkaitan logistik perlukan ketersambungan yang tinggi termasuk 5G.

“Jadi, Tanjung Manis akan diberikan keutamaan dan Kuala Rajang, saya harap kawasan ini kita dapat lihat secara terperinci. Saya sudah beritahu MCMC untuk melihat ketersambungan di Kuala Rajang secara keseluruhan,” katanya selepas menyerahkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia kepada kira-kira 20 penerima di sini.

Beliau mengadakan Jelajah Komunikasi Strategik selama dua hari di Tanjung Manis dan Sarikei bermula hari ini. Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh.

Annuar juga berkata, satu daripada tujuh menara telekomunikasi baharu yang dirancang di Tanjung Manis sudah siap manakala bakinya sedang dilaksana dan berpuluh-puluh lagi menara perlu dinaik taraf.

“Sekiranya ada yang memerlukan penambahan pembinaan menara untuk melengkapkan Kuala Rajang sebagai pusat utama kesalinghubungan di kawasan tengah Sarawak, kita akan memberikan peruntukan sewajarnya,” katanya.

Pembangunan Tanjung Manis bermula dengan Zon Pemprosesan Perindustrian Berasaskan Kayu pada 1990 sebelum dipelbagaikan kepada Kompleks Pelabuhan Perikanan Laut Dalam pada 2004, Kawasan Industri Pembinaan Kapal pada 2007 serta Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) dan Hab Halal Tanjung Manis pada 2009.

Artikel Berkaitan:

Pembangunan itu dijenamakan semula sebagai Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis atau T-MEGA pada 2018 iaitu langkah strategik kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan ini. - Bernama