Malaysia hilang peluang jadi pusat MRO terbesar di Asia Pasifik

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Malaysia dikhuatiri akan kehilangan peluang untuk menjadi pusat Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO) terbesar di Asia Pasifik sekiranya tidak melaksanakan Kedah Aerotropolis.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia memandangkan Kuala Namu Sumatera akan membina Maintenance, Repair and Overhaul (MRO) Hub di Indonesia.

Justeru kata beliau, kerajaan negeri terus berharap pembangunan Kedah Aerotropolis diberi perhatian secara keseluruhannya termasuk cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang merupakan komponen utama bagi pembangunan itu.

"Jika kita tidak merebut peluang ini dalam kalangan pemain industri kargo antarabangsa (dan) jika ia tidak berlaku di Malaysia dalam tahun-tahun ke depan ia (pembangunan industri kargo) sedang bergerak ke Sumatera.

"Opsyen yang hampir sama dengan Kedah adalah Kuala Namu di Sumatera. Kalau tidak direbut, dibawa ke Kedah. Saya yakin satu pusat kargo terbesar di Asia Pasifik ini akan ada di Indonesia," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Royal Kedah Club, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Jelas Muhammad Sanusi, kerajaan negeri telah merancang untuk membangunkan projek Kedah Aerotropolis bagi memainkan peranan lebih signifikan di peringkat wilayah dan serantau serta mengukuhkan lagi ekosistem industri dan pengangkutan di Kedah.

Ujarnya lagi, projek pembangunan ini merangkumi tiga komponen utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Aerocity serta Sidam Logistics, Aerospace dan Manufacturing Hub (SLAM).

Beliau memberitahu, KXP adalah dirancang sepenuhnya untuk dibangunkan sebagai sebuah lapangan terbang kargo dan bukannya lapangan terbang berasaskan penumpang.

"Justeru, tanggapan bahawa pembangunan KXP akan menjadi saingan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) adalah tidak berasas.

"KXP bukan sahaja tidak akan menjadi saingan malah menjadi pelengkap kepada kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang," katanya.

Beliau mengulangi pendirian bahawa pembangunan lapangan terbang KXP amat signifikan lagi diperlukan dalam konteks pembangunan ekonomi negara kita khususnya di Wilayah Utara.

Tambah Muhammad Sanusi, rakan pelabur antarabangsa yang telah menyatakan komitmen untuk terlibat aktif di KXP menaruh keyakinan tinggi bahawa KXP berpotensi untuk menjadi ‘economic game changer’ pada masa hadapan.

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri amat berharap untuk diberi peluang menjelaskan secara terperinci akan kepentingan projek ini kepada rakyat dan negara secara langsung di hadapan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sektor pembuatan merupakan sektor ekonomi kedua terbesar di Kedah dengan peratusan sumbangan KDNK sebanyak 30.7 peratus dan merupakan 'economic spearhead' kepada Kedah, walaupun negeri ini secara tradisinya merupakan negeri berasaskan pertanian.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri amat memberi tumpuan kepada pemerkasaan sektor pembuatan khususnya dari sudut pemantapan ekosistem pelaburan dan industri, pengembangan kawasan-kawasan industri baharu serta penjanaan 'talent pool' berkualiti dan mencukupi.

"Dalam konteks 'talent pool', Kedah berharap satu usaha dan perhatian dapat diberi di bawah RMK12 khususnya dalam melahirkan para graduan berkemahiran tinggi dan profesional dalam bidang-bidang memerlukan seperti Kejuruteraan, Sains dan Teknikal,"katanya.

Beliau berkata, Kedah kini dalam tindakan untuk membesarkan kawasan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) kepada Fasa 4A dan Fasa 5 serta membangunkan sebuah koridor ekonomi berasaskan perindustrian di Bandar Kulim diberi nama Kulim Industrial Corridor (KIC).

Kata Muhammad Sanusi, pihaknya berharap hasrat menjayakan agenda Kulim sebagai sebuah Daerah Teknologi Tinggi selaras dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan perancangan Kulim Industrial Corridor (KIC) turut dapat dijadikan sebagai salah satu agenda nasional dan diberi perhatian khusus di bawah RMK12.