MBI minta segerakan projek punca jalan raya sesak

Rumaizi (tiga dari kanan) melancarkan perolehan kenderaan operasi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada Jumaat.
Rumaizi (tiga dari kanan) melancarkan perolehan kenderaan operasi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Kerja-kerja menaik taraf sistem pembentungan yang menyebabkan kesesakan kepada pengguna jalan raya di sekitar pusat bandar dijadualkan siap pada Jun 2023.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya bagaimanapun telah meminta syarikat swasta terbabit untuk segera menyiapkan projek berkenaan lebih awal.

"Saya dimaklumkan oleh kerajaan pusat bahawa projek ini akan siap pada 30 Jun 2023, kita ada setahun setengah lagi.

"Kami meminta mereka untuk segera menyiapkannya. Saya minta awal setahun iaitu sehingga 30 Jun depan namun, ia masih lagi dalam peringkat perundingan," katanya ketika mengulas rungutan pengguna jalan raya terhadap projek berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan perolehan kenderaan operasi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Dewan Mesyuarat MBI di sini, pada Jumaat.

Rumaizi berkata, fasa terakhir projek itu kini tertumpu di kawasan pusat bandar.

"Kami mempunyai mesyuarat pemantauan dipengerusikan oleh saya setiap bulan yang memantau perkembangan projek ini.

"Kerja-kerja ini sepatutnya lebih laju namun saya diberitahu ia menggali mengambil masa berikutan struktur tanah yang berbatu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerja-kerja naik taraf berkenaan perlu disiapkan sebelum meneruskan Rancangan Tempatan Bandar Raya Ipoh 2035 (Penggantian) termasuk membina perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT).

"Bagi projek ini dijangka dibuat dalam suku akhir antara 2030 hingga 2035. Ketika itu, pembinaan jalan ini sudah siap dan Ipoh boleh mencapai tahap bandar berkarbon rendah.

"Perkara yang dibuat ini adalah satu perancangan. Perlu buat perancangan awal. Sekiranya tiada rancangan dalam pembangunan ia akan menelan kos yang tinggi kelak," katanya.