X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Polis sahkan siasat Ahli Parlimen Sepanggar

Mohd Azis
A
A

MARAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman disiasat berhubung ucapannya pada persidangan Parlimen awal bulan ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim yang mengesahkan perkara itu berkata, ia merupakan siasatan biasa selepas pihaknya menerima laporan membabitkan Mohd Azis.

“Kita terima laporan, jadi kita jalankan siasatan, selepas itu kita akan rujuk AGC (Jabatan Peguam Negara). Ini baru siasatan dan bukan ambil tindakan lagi," katanya ketika mengulas mengenai tindakan polis yang mengambil keterangan Mohd Azis.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sini pada Khamis, dan yang turut hadir ialah Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, timbalannya Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman.

Selasa lepas, Mohd Azis pada sidang media di bangunan Parlimen berkata, beliau diminta memberikan keterangan kira-kira sejam selepas membangkitkan mengenai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pengagihan peruntukan kerajaan terhadap Sabah pada perbahasan Bajet 2022 dua minggu lepas.

Sementara itu, Mazlan memaklumkan pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk menyewa rumah daripada pihak swasta bagi mengatasi masalah kekurangan kuarters pegawai dan anggota PDRM.

Katanya, sebagai permulaan pihaknya telah memohon lebih 200 unit rumah untuk disewa.

"Sebagai permulaan kita akan sewa di Lembah Klang dahulu terutama di Kuala Lumpur sebelum meneruskan ke bandar besar seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

"Jika nak bina kuarters baharu ia ambil masa, jadi ini merupakan salah satu usaha kita untuk menjaga kebajikan pegawai dan anggota PDRM...kerana ada di antara mereka yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi menetap di Bangi, Shah Alam dan Kajang," katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!