Mengapa digelar sayyid?

A
A
A
DALAM hadis Riwayat Tirmidzi dan Hakim, disahihkan oleh Dzahabi, Nabi mengatakan bahawa kedua cucunya iaitu Hasan dan Hussein adalah “sayyid” kepada pemuda-pemuda ahli Jannah (sayyidaa shabaab ahl al-jannah). Apakah ini bermakna semua keturunan Nabi SAW layak digelar “sayyid”?

Nabi SAW telah juga melarang panggilan “sayyid” ke atas orang yang memusuhi Islam. Dalam sebuah hadis Riwayat Abu Daud dan Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad bahawa Nabi telah bersabda yang bermaksud, “Janganlah kamu panggil seorang munafik dengan panggilan “sayyid”. Kerana sekalipun dia seorang “sayyid”, bererti kamu telah membuat Tuhan murka.”

Perkataan “sayyid” sebenarnya bermakna tuan. Asalnya ia digunakan dalam konteks merujuk kepada tuan hamba abdi. Apabila seseorang memiliki hamba abdi atau khadam, dia dipanggil sayyid seperti “sir” dalam bahasa Inggeris.

Tetapi perkataan sayyid, seperti perkataan Inggeris “sir”, diperluaskan maknanya untuk merujuk kepada seseorang yang dihormati dan memiliki status sosial yang tinggi dan mulia walaupun dia tidak memiliki hamba abdi. Ia juga bermakna pemimpin.

Maka, Nabi SAW melarang kita memanggil seseorang itu sayyid jika dia adalah seorang munafik. Ini memberi status sosial yang tinggi kepadanya sedangkan dia adalah musuh Islam. Seorang munafik tidak merujuk kepada orang yang sekadar buat dosa. Ia merujuk kepada seorang yang memang berniat jahat dan mahu merosakkan agama. Bagaimana mungkin seorang yang benar-benar takut kepada kemurkaan Tuhan memuliakan seorang munafik dan mengangkatnya menjadi pemimpinnya?

Maka jika seseorang keturunan Nabi SAW sekalipun tapi dia merosakkan agama, kita dilarang untuk memanggilnya “sayyid” atau secara qiyas memberi apa-apa status penghormatan kepadanya seperti “Tun”, “Tan Sri” atau “Tuan Guru”. Jika kita beri juga, seolah-olah kita mengiktiraf usaha jahatnya.

Masyarakat kita begitu mudah memanggil seseorang “tuan guru”. Ini sangat bahaya dan pasti mengelirukan rakyat biasa. Yang paling bahaya ialah ketua-ketua agama yang sudah jelas korup dan menghalalkan pembohongan demi pembohongan untuk jaga periuk nasi parti politiknya juga digelar “tuan guru”.

Umat kita semakin dirosakkan oleh pemberian status mulia kepada mereka yang tidak mulia. Kita takut kemurkaan Tuhan bila gejala meminum arak berleluasa, tetapi kita relakan pula kemurkaan Tuhan dengan memberi gelaran sayyid atau tuan guru kepada yang menjual agama!

Dalam hadis Sahih Al-Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “ALLAH tidak akan tiba-tiba mencabut ilmu daripada hamba, tetapi ALLAH mencabut ilmu dengan cara mewafatkan para ulama sehingga bila tiada lagi tinggal ulama (sejati), maka rakyat akan mengangkat pemimpin daripada kalangan orang bodoh. Mereka ini diminta fatwa agama, dan mereka memberi fatwa agama tanpa ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan”.

Artikel Berkaitan:

Nabi SAW adalah “time traveller” kerana nampak dengan jelas apa yang sedang berlaku pada zaman kita. Rakyat akan begitu keliru sehingga memuliakan golongan bodoh sebagai sayyid atau tuan guru yang diminta fatwa agama.

Hussein digelar sayyid oleh Nabi SAW kerana beliau bercakap benar dan tidak bohong walaupun nyawa beliau dan keluarga beliau dalam bahaya semasa di Karbala. Kalau beliau “bohong sunat” semasa disoal oleh komander kepada kerajaan zalim tentang motif politik beliau di Karbala, sudah tentu beliau tidak akan dibunuh. Beliau rela kepala dipancung daripada berbohong! Para “tuan guru” kita pula rela rakyat dipancung daripada bercakap benar.

Hasan juga digelar sayyid kerana Nabi SAW mengatakan dalam Sahih Bukhari bahawa Hasan akan mendamaikan dua pihak Muslimin yang bersengketa. Saidina Hasan telah dilantik menjadi khalifah dan beliau memang lebih layak daripada Mu’awiyah Bin Abi Sufyan.

Tetapi demi menyatukan “parti Bani Hasyim” dan “parti Bani Umayyah”, beliau sebagai pemimpin Bani Hasyim meletak jawatan sebagai khalifah dan memberi baiah kepada pemimpin Bani Umayyah walaupun beliau lebih layak. Inilah kepimpinan seorang tuan guru yang bersifat rahmah dan hikmah.

Sejauh manakah pemimpin-pemimpin kita yang berjihad atas nama agama sanggup melepaskan kuasa politik demi menyatukan rakyat Malaysia?

* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak