FAM sahkan tiga pemain JDT dilayangkan kad kuning

Perang mulut pemain JDT (kanan) dan TFC berikutan kekasaran yang berlaku pada perlawanan berkenaan. - Foto FB Terengganu FC
Perang mulut pemain JDT (kanan) dan TFC berikutan kekasaran yang berlaku pada perlawanan berkenaan. - Foto FB Terengganu FC
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan tiga kad kuning dilayangkan kepada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan pada Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundram berkata, pengesahan itu setelah menerima laporan daripada pegawai penilai pengadil perlawanan berkenaan pada Selasa.

“Untuk pengetahuan semua, kita mengikut laporan daripada penilai pengadil untuk setiap perlawanan.

“Berdasarkan kepada laporan yang dihantar kepada saya, memang ada tiga kad kuning yang dilayangkan kepada pemain JDT pada saingan separuh akhir pertama, semalam (Isnin).

“Oleh itu, saya harap pengesahan ini akan dapat menjawab kritikan-kritikan yang dilemparkan kepada FAM, bahawa pengadil perlawanan tidak melayangkan kad kepada pemain JDT,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sivasundram berkata demikian bagi mengulas kritikan-kritikan dilemparkan kepada pengadil perlawanan berkenaan yang disifatkan ‘tidak berani’ melayangkan kad kepada pemain JDT yang secara jelas melakukan kesalahan pada aksi di Gong Badak tersebut.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan pegawai penilai pengadil sebanyak tiga kad kuning dilayangkan kepada tiga pemain JDT melibatkan Sean Lowry, Natxo Insa dan Leandro Velazquez.

Tambah Sivasundram, pihaknya sedia menerima kritikan-kritikan yang dilemparkan netizen kepada FAM kerana kritikan-kritikan berkenaan pada akan membantu menjadikan badan induk bola sepak negara itu bertambah baik.

Artikel Berkaitan:

“Kita terima kritikan-kritikan yang dilemparkan kepada kita oleh netizen kerana dalam masa sama kita dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan kita.

“Untuk pengetahuan semua, pengadil adalah seorang yang neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Jika pengadil didapati tidak menjalankan tugas dengan betul, kita akan hukum dia dan sebab itu kita ada Bahagian Pembangunan,” katanya.

Sementara itu, Sivasundram menegaskan, FAM dalam proses mengkaji penggunaan video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Katanya, kajian itu sedang berjalan dan melibatkan pelbagai aspek termasuk melibatkan aspek kewangan yang agak besar.

“VAR ini, memang kita buat kajian dan difahamkan kita perlukan RM18 juta ke RM20 juta untuk menggunakan teknologi ini.

“Oleh itu, kita nak tengok dari segi kemampuan kewangan kita pula sekarang masalah Covid-19 di negara kita.

“Selain itu, kita juga nak tengok keadaan internet di stadium-stadium yang akan menggunakan teknologi VAR. Semua itu masih dalam kajian kita,” katanya.