Tiada kes kematian disebabkan vaksin Covid-19

Aaron Ago Dagang
Aaron Ago Dagang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada kes kematian dapat dikaitkan secara langsung dengan vaksin Covid-19 yang diberikan sepanjang tempoh pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula 24 Februari sehingga 20 November lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata, ia hasil penilaian kasualti melalui post mortem walaupun terdapat 535 laporan melibatkan kes kematian dalam kalangan penerima vaksin dalam tempoh itu.

“Semua kes yang dikategorikan sebagai serius termasuk kes kematian akan disiasat dengan menyeluruh dan terperinci oleh fasiliti kesihatan yang berkenaan.

“Laporan penyiasatan ini kemudiannya diserahkan kepada Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19 (JFK) untuk penilaian kasualti atau hubung kait antara kesan sampingan dan vaksin,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan R Sivarasa (PH-Sungai Buloh) mengenai hasil pemantauan Kementerian Kesihatan terhadap penerima vaksin Covid-19 termasuk kes kematian dan kesan negatif yang dikaitkan secara langsung kepada pemberian vaksin.

Aaron berkata, sepanjang tempoh itu, sistem pelaporan Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menerima 23,163 laporan kes advers susulan imunisasi vaksin iaitu 0.45 laporan bagi 1,000 dos yang diberikan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 93.3 peratus daripada laporan kes melibatkan kesan sampingan ringan dan sederhana seperti sakit di tempat suntikan, demam, pening dan keletihan.

“Daripada jumlah ini, hanya 1,549 laporan dikategorikan sebagai serius iaitu bersamaan 0.03 laporan bagi setiap 1,000 dos yang diberikan, dan mereka ini dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan rawatan lanjut bagi beberapa hari,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Timbalan menteri itu turut memaklumkan sepanjang tempoh sama, sejumlah 51,842,386 dos vaksin Covid-19 melibatkan vaksin Pfizer, AstraZeneca, Sinovac, CanSino dan Sinopharm telah diberikan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!