Profesion teknikal berperanan rancak ekonomi negara

Mohd Zuki (tengah) diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan (kiri) dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Mohamad Zulkefly Sulaiman (kanan) pada gimik perasmian Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2021 di Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur.
Mohd Zuki (tengah) diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan (kiri) dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Mohamad Zulkefly Sulaiman (kanan) pada gimik perasmian Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2021 di Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Warga profesion teknikal di sektor awam berperanan untuk bersama-sama kerajaan membantu merancakkan kembali ekonomi negara melalui pembangunan modal insan yang inovatif dan berkemahiran tinggi.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, ia penting bagi mempercepatkan penghasilan inovasi dan adaptasi teknologi digital yang dapat meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan seterusnya membantu pemulihan ekonomi negara.

“Pandemik Covid-19 memperlihatkan impak yang mendalam kepada landskap sosioekonomi negara. Dalam konteks ini, bidang teknikal juga tidak terkecuali merasai impaknya.

“Ironinya, tidak dinafikan bahawa pandemik Covid-19 telah mempercepatkan gelombang perubahan teknologi dan perkembangan era pendigitalan di mana pengadaptasian teknologi digital telah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pra Pelancaran Hari Profesion Teknikal Negara 2021 (HPTN 2021) di Menara Kerja Raya di sini pada Isnin.

Mohd Zuki (duduk tengah) bergambar kenangan bersama rakan-rakan strategik pada Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2021 di Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur.
Mohd Zuki (duduk tengah) bergambar kenangan bersama rakan-rakan strategik pada Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2021 di Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Mohd Zuki berkata, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) 2021-2025 yang telah dibentangkan baru-baru ini amat penting sebagai tunjang perancangan pembangunan negara.

“Transformasi perkhidmatan awam ke arah perkhidmatan berprestasi tinggi merupakan antara inisiatif yang terkandung dalam RMK12.

Artikel Berkaitan:

“Perkhidmatan awam berprestasi tinggi dapat dicapai dengan adanya penjawat awam yang berkaliber sebagai pemimpin, berkepakaran, berinovasi dan berani menghadapi cabaran bersandarkan nilai integriti, akauntabiliti dan ketelusan.

“RMK12 juga bakal menyaksikan perkhidmatan kerajaan dalam talian dari mula hingga akhir atau end to end (E2E) disasar meningkat kepada 80 peratus menjelang tahun 2025,” katanya.

Jelasnya, sektor awam yang turut dipelopori oleh tenaga teknikal tidak terkecuali dalam memberi sumbangan ke arah merealisasikan hala tuju MyDigital, Dasar 4IR Negara dan RMK12.

“Cabaran ini memerlukan transformasi dari pelbagai aspek antaranya keperluan pemikiran digital first dan peningkatan penggunaan teknologi digital dalam sektor awam serta keperluan dalam membangunkan tenaga kerja bagi mendepani landskap pekerjaan di masa hadapan di samping penyediaan infrastruktur jalur lebar dan teknologi digital yang berkualiti,” ujarnya.