'Kembalikan wang KWSP'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menggesa Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menuntut kerajaan memulangkan wang yang telah dikeluarkan oleh ahli KWSP B40 dan M40 untuk perlindungan persaraan.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, matlamat utama penubuhan KWSP ialah simpanan bagi tujuan persaraan dan yang diurus kelola di bawah Akta KWSP 1991 (Akta 452).

Menurutnya, bagaimanapun sejak pandemik Covid-19, matlamat asal KWSP dilihat mula beralih termasuk penghakisan simpanan dalam badan berkanun itu.

“Aset pelaburan KWSP telah meningkat kepada RM1.02 trilion pada penghujung tahun 2020 tetapi merosot menjadi RM989.14 bilion pada Jun 2021.

“Di bawah pakej rangsangan ekonomi, kerajaan memperkenalkan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dan ahli KWSP mengeluarkan RM101 bilion dari simpanan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Solomon berkata, sedangkan pihak yang mendapat manfaat dari tiga skim tersebut ialah kerajaan dan majikan.

Tambah beliau, majoriti 7.4 juta yang mengeluarkan ialah ahli KWSP kalangan B40 dan M40.

“Kira-kira 6.1 juta pencarum KWSP kini hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000. Daripada jumlah ini, kira-kira 3.6 juta ahli mempunyai kurang daripada RM1,000 dalam simpanan mereka menyebabkan ada kekangan kewangan dan tidak dilindungi untuk menghadapi usia persaraan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan sasaran minimum RM240,000 simpanan yang perlu dimiliki ahli KWSP apabila mencapai umur 55 tahun, hanya tiga peratus yang mampu bersara dan mampu bertahan dengan simpanan mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, langkah kerajaan melanjutkan tempoh pengurangan kadar caruman KWSP daripada 11 peratus kepada sembilan peratus dalam Bajet 2022 yang diumumkan baru-baru ini juga akan memburukkan isu simpanan persaraan.

Justeru kata beliau, kerajaan perlu mencari kaedah bagi perlindungan para pencarum selepas mereka bersara,

Ujar Solomon, Lembaga KWSP perlu memastikan wang ahli KWSP tidak digunakan untuk melabur secara langsung atau tidak langsung dalam perniagaan yang mengeksploitasi pekerja, menggalakkan usaha memusnahkan kesatuan sekerja atau untuk tujuan politik.

“Setiap keputusan yang dibuat oleh Lembaga KWSP mesti mengambil kira tanggungjawab untuk mempertahankan dana ahli demi kesejahteraan pencarum pada hari tua mereka kerana Malaysia akan menjadi negara yang semakin tua menjelang 2030,” katanya.