PEDi perkasa usahawan kecil, tingkat sosioekonomi masyarakat luar bandar

Ismail Sabri (tiga, kiri) menyampaikan Sijil Rakan Digital PEDi kepada peserta terlibat sempena pelancaran PEDi di Kampung Durian Tawar di Bera pada Ahad.
Ismail Sabri (tiga, kiri) menyampaikan Sijil Rakan Digital PEDi kepada peserta terlibat sempena pelancaran PEDi di Kampung Durian Tawar di Bera pada Ahad.
A
A
A

BERA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 873 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di seluruh negara akan dipertingkatkan dan dipergiatkan sebagai pusat sehenti untuk aktiviti ekonomi digital luar bandar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan usaha kerajaan dalam merapatkan jurang digital kerana menyedari kemahiran penggunaan internet mampu membuka peluang ekonomi dan meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Menurutnya, setiap PEDi dilengkapi akses perkhidmatan jalur lebar, kemudahan infrastruktur digital serta kakitangan terlatih untuk memberi perkhidmatan dan sokongan diperlukan oleh komuniti setempat.

"Selain itu, sebanyak 37 PEDi baharu akan dibuka pada suku pertama tahun 2022 manakala 173 PEDi lagi akan beroperasi menjelang penghujung tahun hadapan menjadikan jumlah keseluruhan 1,083 PEDi beroperasi di seluruh negara.

"Di Bera sahaja, seramai 1,158 peserta yang telah mendaftar sebagai ahli PEDi dan menggunakan pusat ini untuk menghadiri kelas keusahawanan seperti asas fotografi serta cara pemasaran di Shopee dan Yezza.

“Seramai 48 usahawan dilatih di PEDi ini yang mana 47 peratus adalah usahawan yang mengusahakan perniagaan makanan dan minuman, 42 peratus dalam fesyen dan gaya hidup dan antara lain adalah perkhidmatan, agro serta elektronik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan PEDi di Dewan Orang Ramai Kampung Durian Tawar, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Anuar Musa dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, selain kemudahan infrastruktur, kerajaan yakin dengan adanya Panel Penasihat PEDi, Rakan Digital PEDi dan Usahawan Ikon di setiap PEDi dapat menggalakkan komuniti

setempat untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan serta menggunakan sepenuhnya perkhidmatan di pusat berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan menyasarkan seramai 800,000 usahawan kecil akan mendapat manfaat menjelang 2025.

"Selain itu, melalui Bajet 2022, kerajaan terus memberikan sokongan kewangan kepada PKMS sebanyak RM40 bilion untuk geran, jaminan dan ekuiti dan sebahagian besarnya disediakan untuk PMKS.

"Ia akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 di mana PMKS dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan 25 peratus daripada jumlah eksport pada tahun 2025," jelasnya.