X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 29 Januari 2022

Banjir: Jangan berpesta, jaga SOP

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

PASIR MAS - Polis menasihatkan orang ramai supaya kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan jangan sesekali menjadikan musim banjir sebagai ‘pesta’ bermain air.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata walaupun beberapa kawasan di sekitar Rantau Panjang dan Jeram Perdah, di sini, sudah mula dinaiki air namun orang ramai masih tertakluk kepada SOP bagi mengelak penularan Covid-19.

Beliau berkata, mengikut SOP Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di sesuatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia tidak dibenarkan.

“Orang ramai diarahkan supaya tidak berkumpul bermain air kerana mereka boleh dikompaun. Kita tahu penduduk di Rantau Panjang sudah sinonim dengan pesta air pada musim banjir tetapi mereka perlu beringat dengan jangkitan Covid-19 di negeri ini yang masih tinggi.

“Kompaun akan dikenakan kepada mana-mana individu yang didapati masih berdegil bermain air dan tidak mengikut SOP ditetapkan sepanjang musim banjir," katanya ketika dihubungi pada Sabtu

Mohd Nasaruddin berkata, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan ditugaskan untuk melakukan rondaan serta menasihati penduduk dan sekiranya masih berdegil maka akan dikompaun.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, di sini kekal 31 orang daripada enam keluarga petang ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!