Kebolehpasaran graduan UMK membanggakan

Tengku Muhammad Faiz semasa menyampaikan titah di Istiadat Konvokesyen UMK Kali ke 10 dan 11 di UMK Kampus Bachok pada Sabtu. - Foto ihsan UMK
Tengku Muhammad Faiz semasa menyampaikan titah di Istiadat Konvokesyen UMK Kali ke 10 dan 11 di UMK Kampus Bachok pada Sabtu. - Foto ihsan UMK
A
A
A

BACHOK - Pencapaian Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terutama dalam kebolehpasaran graduan dan peningkatan graduan usahawan amat membanggakan.

Canselor UMK, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra bertitah, dengan kejayaan yang digapai, baginda berharap dapat mendengar khabar gembira berkaitan pengiktirafan UMK dalam Accreditation Council for Entrepreneurial and Engaged Universities atau ACEEU.

"Beta berdoa agar UMK mendapat tempat yang gemilang dalam anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi nanti.

"Begitu juga daripada aspek penyelidikan, beta sukacita dengan pencapaian penyelidik UMK yang berterusan menghasilkan pelbagai inovasi, sama ada dalam bidang sains tulen, mahupun sains sosial dan ilmu kemanusiaan," titah baginda ketika Istiadat Konvokesyen Kali ke 10 dan 11 UMK di UMK Kampus Bachok, di sini pada Sabtu.

Turut mengiringi baginda ialah isteri, Cik Puan Sofie Louise Johansson dan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Baginda bertitah, sebagaimana maklum, UMK berkolaboratif dengan kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek khas bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri tersebut.

Titah baginda, ini adalah antara usaha berimpak terpuji yang diusahakan oleh UMK dan sekalung tahniah dirakamkan kepada institut pengajian tinggi (IPT) itu.

"Beta berharap, momentum kecemerlangan UMK dapat diteruskan. Bukan sahaja untuk impak akademia, sebaliknya dalam bentuk impak kesejahteraan rakyat negeri Kelantan khususnya dan negara Malaysia amnya," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor UMK, Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad semasa menyampaikan ucapan di majlis berkenaan memberitahu, data pengesanan graduan sehingga 1 Mac tahun ini menunjukkan peratus kebolehpasaran graduan UMK bagi tahun 2020 adalah sebanyak 90.6 peratus.

"Peratus ini adalah jauh lebih tinggi daripada sasaran ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi iaitu 75 peratus.

"Peratusan ini merangkumi mereka yang bekerja sendiri, menjadi pekerja bebas atau menjadi majikan. UMK juga berjaya menghasilkan 14.8 peratus graduan usahawan pada tahun 2020, insya-ALLAH pada tahun ini pastinya akan lebih meningkat," katanya.

Graduan UMK yang menerima pengiktirafan graduasi kali ini ialah seramai 1,916 orang untuk tahun 2020 dan 1,941 orang untuk tahun 2021.

Dalam istiadat kali ini turut menyaksikan pelantikan Tan Sri Datuk Dr Asiah Abu Samah sebagai Pro Canselor UMK dan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Keusahawanan) kepada Datuk Ts Abd Radzak Abd Malek dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Mohamed Fauzy Abdul Hamid.

Selain itu, turut menerima anugerah ialah Profesor Datuk Dr Ibrahim Che Omar iaitu Anugerah Profesor Emeritus.