UMK, Universiti Sohar kongsi kepakaran bangunkan usahawan

Razli (kanan) semasa majlis menandatangani MoA diantara UMK dan Universiti Sohar di Oman.
Razli (kanan) semasa majlis menandatangani MoA diantara UMK dan Universiti Sohar di Oman.
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjalinkan kerjasama dengan Universiti Sohar (US) di Oman dalam usaha membangunkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Razli Che Razak berkata, ia memfokuskan kepada program keusahawanan hijau dan sosial remaja wanita.

Menurut beliau, projek yang bakal dilaksanakan ini selari dengan Dasar Keusahawanan Negara dan Oman Vision 2040 yang banyak menekankan aspek keusahawanan.

“Dalam masa yang sama juga, beberapa agenda dibincangkan untuk meluaskan lagi kerjasama antara UMK-US.

“Pihak US amat berminat untuk berkolaborasi dalam bidang keusahawanan selepas tertarik dengan pencapaian cemerlang UMK melalui Institut Keusahawanan UMK (UMKEI) dalam aktiviti-aktiviti keusahawanan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum itu Razli telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama Naib Canselor US, Dr Hamdan Sulaiman Al Fazari yang turut disaksikan oleh Duta Besar Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT), Shaiful Anuar Mohammad.

Ujar beliau, pihak US juga teruja untuk bekerjasama dengan UMK bagi pelaksanaan program akademik 2 2 dan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan bio.

Tambahnya, kerjasama dengan US telah mencapai hasrat universiti dalam mempromosikan UMK dipersada antarabangsa dan menjadikan ia sebuah universiti keusahawanan yang terunggul di masa hadapan.