Aset dana 1MDB RM20.5 bilion dipulangkan kepada kerajaan Malaysia

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama dan bantuan agensi-agensi penguatkuasaan antarabangsa berjaya memulangkan aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM20,530,433,626.97 kepada kerajaan Malaysia.

Menurut satu kenyataan, SPRM memaklumkan, pihaknya sedang giat meneruskan pemulihan aset dana 1MDB di dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan serta Singapura.

“Commercial Affairs Department (CAD) Singapura telah membuat pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil kepada kerajaan Malaysia pada 12 November 2021.

“Pemulangan wang tersebut telah diserahkan menerusi Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account) milik Kementerian Kewangan Malaysia berjumlah AS$864, 813.27.

“Sebelum ini, kerajaan Singapura juga telah membantu dalam pemulangan aset sebanyak AS$15.4 juta kepada Malaysia melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik Datuk Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.

"Selain itu, SPRM juga sedang dalam usaha untuk pemulihan aset bagi negara-negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus, Hong Kong yang melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Pada 12 Mei 2021, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa kira-kira RM1.9 bilion (AS$452.36 juta) telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dan wang berkenaan adalah sebahagian daripada dana 1MDB yang telah disita.

Sehingga kini, Akaun Amanah tersebut di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara dan telah menerima sebanyak RM16.05 bilion dana yang disita serta dipulangkan berkaitan 1MDB.

Artikel Berkaitan: