Rumah kongsi warga asing, kedai disyaki curi air diserbu

Anggota penguat kuasa SAINS bersama SPAN menyerbu dua premis disyaki mencuri air di Seremban pada Rabu.- Foto Sains
Anggota penguat kuasa SAINS bersama SPAN menyerbu dua premis disyaki mencuri air di Seremban pada Rabu.- Foto Sains
A
A
A

SEREMBAN - Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu dua premis kerana disyaki mencuri air dengan membuat penyambungan secara haram pada Rabu.

Serbuan diketuai pegawai SPAN, Muhammad Naqib Aniq Abdul Kahar daripada Bahagian Penguatkuasaan SPAN dan Unit Penguatkuasaan Sains.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, serbuan pertama dijalankan terhadap sebuah rumah kongsi pekerja binaan yang terletak di Sendayan di sini.

"Siasatan tapak mendapati penghuni premis melakukan satu penyambungan tidak sah menggunakan paip 'high density polyethlene' (HDPE) bersaiz 25 milimeter (mm) tanpa melalui sebarang meter.

"Bekalan air melalui sambungan tidak sah itu digunakan untuk kegunaan harian pekerja warga asing di situ. Kes seterusnya disiasat di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

"Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Jelas Norzita, serbuan kedua dilakukan terhadap sebuah kedai dua tingkat yang sedang diubah suai di Seremban 2 di sini.

Katanya, siasatan mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah tanpa melalui sebarang meter dengan menggunakan paip 'unplasticized polyvinyl chloride' (UPVC) bersaiz 25mm.

Artikel Berkaitan:

"Bekalan air melalui sambungan tidak sah digunakan untuk kerja-kerja membancuh simen bagi pengubah suaian kedai.

"Kes kedua disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tambah beliau, pegawai penguat kuasa Sains turut menjalankan ujian klorin di lokasi berkenaan dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.

Selain itu, katanya, pihak SPAN telah menyita semua pemasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti.