Pilih secara bijak demi kemajuan Melaka

Foto 123rf. (Gambar kecil: Hussain)
Foto 123rf. (Gambar kecil: Hussain)
A
A
A

SHAH ALAM - Kejatuhan kerajaan negeri Melaka baru-baru ini disifatkan sebagai jawapan bonus buat rakyat terhadap tingkah laku ahli politik yang hanya mencari kedudukan dan peluang untuk diri sendiri tanpa memikirkan kesan kepada rakyat.

Ketua Jabatan Hubungan Antarabangsa Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, sikap yang berpuak dan berkepentingan dalam keluarga besar politik Melayu telah meruntuhkan sebuah bahtera yang telah dibina tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat dan negeri.

Menurutnya, lebih malang lagi, karisma kepimpinan utama parti seperti tiada taring dalam mengawal tingkah laku ahli politik agar tidak membuat keputusan yang membelakangi parti.

“Saya ingin menegaskan bahawa rakyat Melaka perlu bangkit dan memainkan peranan yang sewajarnya dalam sistem demokrasi dengan membuat pilihan yang bijak dan tepat untuk masa depan Melaka seperti mana yang telah dinyatakan dalam perlembagaan.

“Antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian jelas khususnya berkaitan dengan pemilihan kepimpinan adalah memastikan ahli keluarga keluar mengundi sepertimana yang telah dijamin dalam peruntukan perlembagaan.

“Seperti kata-kata Abraham Lincoln, demokrasi ialah kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, personaliti calon yang dikemukan dalam pilihan raya perlu diberi keutamaan bagi memastikan pentadbiran negara ditadbir oleh ahli politik yang bersih daripada salah laku undang-undang.

Katanya, kegagalan memilih calon disebabkan ketaksuban kepada mana-mana parti memungkinkan negara disalah tadbir dengan ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan amanah.

Artikel Berkaitan:

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my