‘Pas tidak berani wujud Suruhanjaya Diraja siasat kes Memali’

Tangkap layar kenyataan akhbar oleh Akif pada Khamis.
Tangkap layar kenyataan akhbar oleh Akif pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pas tidak akan berani mewujudkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat punca sebenar berlakunya peristiwa Memali di Baling, Kedah yang meragut 18 nyawa pada 1985, kata Ketua Penerangan Pejuang Muda Malaysia, Parti Pejuang TanahAir (Pejuang), Akif Rusli.

Beliau berkata, cubaan pimpinan Pas untuk kembali membangkitkan isu tersebut dilihat hanya bertujuan untuk memperoleh modal politik khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Suruhanjaya Diraja boleh ditubuhkan memandangkan Pas sendiri merupakan anggota pentadbiran kerajaan. Sudah tentu, mereka tidak akan pernah berani menubuhkannya kerana mereka akan kehilangan modal jika perkara sebenar dirungkai untuk pandangan orang awam.

“Modal ini dihidupkan semula oleh Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor pada Rabu. Ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah demi meraih sokongan simpati politik dalam PRN Melaka semata-mata.

“Cukuplah menjadikan diri sendiri mangsa dalam perbuatan diri yang jelik dan rakus hanya demi kesenangan pimpinan Pas itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menerusi rencananya di Harakah Daily, Riduan telah menceritakan kembali detik berlakunya peristiwa tersebut yang turut mengorbankan guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali Ibrahim Libya.

Riduan berkata, Tragedi Memali yang berlaku pada 19 November 1985 adalah kemuncak manifestasi penentangan ahli Pas terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam pada itu, Akif mendakwa bahawa perisitiwa yang berlaku itu disebabkan oleh seruan ekstrem daripada seorang pemimpin Pas supaya menentang kerajaan sehingga mencetuskan rusuhan bersenjata dengan menggunakan parang, buluh tajam dan senapang patah.

Artikel Berkaitan:

“Isi kandungan amanat yang ekstrem dan melibatkan pegadaian nyawa sehingga menyebabkan pengikut setia mereka menjadi taasub dan berani menyerang anggota polis pada ketika itu,” ujarnya.