X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Hakim bantu percepat kes syariah tertunggak

Najmi Ahmad
A
A

ALOR SETAR - Hakim bantu dilantik bagi mendengar kes syariah di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah dalam usaha mengurangkan jumlah kes tertunggak berikutan pandemik Covid-19.

Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Datuk Najmi Ahmad berkata, sebanyak 2,736 baki kes termasuklah faraid, penceraian, nafkah, hadhanah, poligami atau pengesahan poligami, harta sepencarian serta wali hakim yang dibawa dari tahun 2020 hingga 30 September 2021.

Bagaimanapun, menurutnya, Jabatan Kehakiman Syariah telah mengambil tindakan untuk mempercepatkan kes di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah di negeri ini.

"Bagi Mahkamah Tinggi Syariah, dua hakim bantu telah dilantik bagi membantu dua Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang sedia ada dengan kelulusan pelantikan diperoleh dari Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Kedah.

"Hakim bantu turut dilantik bagi membantu di Mahkamah Rendah Syariah yang memiliki kes tinggi untuk mendengar dan menyelesaikan kes," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr Ismail Salleh (Amanah-Pengkalan Kundor) berhubung tindakan yang telah dan bakal diambil untuk menyelesaikan kes syariah tertunggak.

Najmi berkata, dua hakim bantu telah diarahkan mendengar dan menyelesaikan kes di Mahkamah Rendah Syariah Sik dan Mahkamah Rendah Syariah Yan.

"Seorang hakim bantu dari Mahkamah Rendah Syariah Pokok Sena turut diarahkan mendengar dan menyelesaikan kes melibatkan Mahkamah Rendah Syariah Kota Setar," katanya.

Tambah beliau, hakim di mahkamah di daerah lain boleh dilantik untuk membantu hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah di Kedah.

"Antara tindakan bakal diambil ialah cadangan meminda peruntukan sedia ada yang membolehkan perbicaraan dalam talian dilaksanakan dan melengkapkan keperluan serta prasarana perbicaraan dalam talian bagi mempercepatkan kes itu," katanya.

Katanya, pandemik Covid-19 sememangnya memberi kesan terhadap kes dibicarakan termasuklah terpaksa dibuat penjadualan semua, pendengaran kes dihadkan mengikut penyusunan masa dan penetapan kes mengikut keutamaan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!