Tiga lelaki cedera rebut 'port' dadah

Lokasi dua mangsa pertama ditemui. Gambar kecil: Mohd Khalil
Lokasi dua mangsa pertama ditemui. Gambar kecil: Mohd Khalil
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pergaduhan merebut kawasan mengedar dadah dipercayai motif utama tiga lelaki dicederakan sehingga parah dalam dua kejadian di lokasi berbeza sejak kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, dua mangsa terlebih dahulu ditemui polis di sebuah ladang kelapa sawit di Permas Jaya petang kelmarin, hasil maklumat orang awam.

"Susulan maklumat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Forensik dan Unit K9 dikerah ke lokasi kejadian sebelum menemui dua lelaki berusia 46 dan 39 tahun dalam keadaan parah.

"Mangsa putus pergelangan tangan kanan, manakala seorang lagi putus ibu jari tangan kiri. Kedua-duanya terus dihantar ke hospital untuk menerima rawatan," katanya di sini, semalam.

Mohd Khalil berkata, siasatan kemudian membawa kepada penemuan seorang lagi mangsa di Masai, tengah malam kelmarin, yang mana dilaporkan turut menerima kecederaan di bahagian tangan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat lisan oleh kesemua mangsa, dimaklumkan mereka telah diserang sekumpulan lelaki dengan bersenjatakan parang.

"Hasil siasatan mendapati mangsa telah ditetak oleh tujuh lelaki yang bersenjatakan parang. Polis percaya kejadian mempunyai kaitan dengan isu perebutan kawasan pengedaran dadah.

"Polis kemudiannya berjaya mengesan seorang suspek dan membuat penahanan kira-kira jam 1.10 tengah hari tadi. Usaha menjejak saki baki kumpulan itu sedang giat dijalankan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 326/435 Kanun Keseksaan.