Mouthgasm mahu tembusi Asia

Shahrul Shafiq (kanan) sentiasa berbincang bersama kakitangannya mengenai produk untuk memastikan jenama Mouthgasm terus kukuh di pasaran.
Shahrul Shafiq (kanan) sentiasa berbincang bersama kakitangannya mengenai produk untuk memastikan jenama Mouthgasm terus kukuh di pasaran.
A
A
A

JENAMA chocojar terkenal, Mouthgasm Crunchy semakin dikenali ramai dan mendapat sambutan yang memberangsangkan meskipun negara dan dunia berdepan pandemik Covid-19.

Pengeluar jenama kudapan terkenal itu, Mouthgasm Sdn Bhd (Mouthgasm) yang ditubuhkan pada penghujung tahun 2019 tidak menyangka produk keluarannya mendapat permintaan tinggi dan berjaya meluaskan pasaran dengan begitu pantas dalam masa setahun.

Pada tahun 2020, ketika kebanyakan industri terkesan dengan penularan Covid-19, Mouthgasm berjaya meraih jualan sehingga 3 juta balang produk Mouthgasm Crunchy Mocha.

Menurut Pengarah Urusan Mouthgasm, Shahrul Shafiq Rosni, kejayaan itu didorong oleh usaha syarikat untuk memberikan kelainan terhadap produk miliknya.

Beliau berkata, kelainan itu bukan sahaja melibatkan kandungan produk tetapi penampilan fizikal balang dan bungkusan produk yang elegan serta menarik.

“Apa yang membezakan produk chocojar sedia ada di pasaran dengan produk kami ialah dari segi pemilihan rasanya yang unik. Mouthgasm Crunchy menggunakan perisa kopi seperti mocha dan macchiato, menjadikannya chocojar premium.

“Selain itu, strategi pemasaran yang berkesan juga menjadikan produk kami pantas berkembang di pasaran dan mempunyai 4,000 ejen di seluruh negara ketika ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Bercerita mengenai detik bermulanya perniagaan tersebut, Shahrul hanya bermodalkan RM2,500 dengan sebuah pusat operasi di Seri Iskandar Business Centre (SIBC) di Bandar Seri Iskandar, Perak.

Artikel Berkaitan:

Perniagaan itu terus berkembang dan mencatatkan hasil jualan yang sangat memberangsangkan dengan jualan awal Mouthgasm Crunchy Mocha sebanyak 60,000 botol dan kini sudah mencecah hampir empat juta botol bagi keseluruhan tiga produk utama keluarannya.

Selepas Mouthgasm Crunchy Mocha dan Mouthgasm Crunchy Macchiato, syarikat itu turut menampilkan produk terbaharu iaitu Mouthgasm Kokiss Dark Crusher hasil permintaan ramai.

Selain itu, Mouthgasm turut tampil dengan produk Serunding Roll pada tahun ini sempena Aidilfitri dengan usahasama sebuah syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) di Kedah yang mengeluarkan produk popia serunding.

“Kami menerima sambutan di luar jangkaan apabila sebanyak enam tan metrik Serunding Roll berjaya dijual pada tahun lalu. Serunding Roll hanya ditawarkan ketika Aidilfitri sahaja,” katanya yang berasal dari Felda Gunung Besout, Perak.

Shahrul Shafiq menunjukkan tiga produk utama keluaran Mouthgasm di hadapan kilang yang beroperasi di SIBC, Bandar Seri Iskandar.
Shahrul Shafiq menunjukkan tiga produk utama keluaran Mouthgasm di hadapan kilang yang beroperasi di SIBC, Bandar Seri Iskandar.

Melihat kepada perkembangan itu juga, Mouthgasm kemudiannya membuka dua lot kedai di SIBC untuk dijadikan sebagai kilang memproses kesemua produk mereka.

Menurut Shahrul, 26, kejayaan membuka kilang yang telah mendapat kelulusan Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mempunyai sistem pengeluaran yang baik mampu meningkatkan kredibiliti produk keluarannya.

Dengan aset dan keupayaan teknologi mesin pembuatan di kilang miliknya membolehkan pengeluaran produk ditingkatkan sehingga 100,000 unit sebulan.

Kini, produk keluaran Mouthgasm telah berada di seluruh negara dan berjaya memasuki pasaran Singapura serta Brunei.

“Saya melihat produk ini mampu berkembang lebih jauh dan impian saya menjelang tahun 2025, produk Mouthgasm mampu menembusi pasaran Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam.

“Apa yang paling penting, strategi pemasaran perlu mengikut keperluan dan trend semasa menggunakan platform dalam talian yang ada seperti TikTok, Instagram, Twitter dan Facebook,” katanya.

Shahrul yang merupakan graduan jurusan seni bina dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, sentiasa optimis bahawa tidak ada yang mustahil untuk sesuatu perniagaan itu berkembang maju asalkan sentiasa mengemaskini dan mengkaji keperluan pasaran.

Jelasnya, pandemik Covid-19 perlu dijadikan peluang untuk menggunakan teknologi sedia ada bagi mengembangkan perniagaan.

Baginya, konsep perniagaan ketika ini perlu mengikut trend semasa untuk terus berdaya saing selain melakukan pembaharuan dan kelainan terhadap produk bagi menarik pelanggan.

“Anak muda yang mahu menerokai dunia perniagaan perlu berani mencuba untuk melakukan sesuatu di luar kebiasaan,” katanya.

Orang ramai inginkan maklumat lanjut mengenai produk ini boleh menghubungi talian 011-36850424.


PROFIL


Nama: Shahrul Shafiq Rosni

Umur: 26 tahun

Asal: Felda Besout, Sungkai, Perak

Jawatan: Pengarah Urusan Mouthgasm Sdn Bhd