X

Kindly register in order to view this article
!

NGO Islam desak polis segera ambil tindakan

Masridzi (dua dari kiri) bersama pengerusi dan wakil-wakil NGO Islam yang membuat laporan polis di IPD Dang Wangi hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam mendesak polis agar segera bertindak dan bertegas ke atas penganjur himpunan Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT) yang berlangsung semalam.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) Malaysia, Masridzi Sat berkata, desakan dilakukan dengan menggerakkan momentum bantahan melalui laporan polis bermula hari ini dan akan berterusan sehingga ada tindakan sewajarnya daripada pihak berkuasa.

"Kita akan pastikan, gerakan membuat laporan polis ini tidak akan habis selagi pihak berkuasa tidak bertindak sebagaimana mereka bertindak tegas terhadap kes penghinaan Nabi SAW sehingga yang bersalah didakwa di mahkamah.

"Begitu juga dalam hal ini, rakyat tidak akan berdiam diri, NGO Islam di seluruh negara akan berterusan membuat laporan polis seberapa banyak yang mungkin," katanya kepada media di perkarangan IPD Dang Wangi.

Masridzi berkata, untuk semalam sahaja, di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, sembilan laporan polis telah kita buat sejak pagi tadi melibatkan NGO-NGO Islam.

"Sebenarnya LGBT bukan sahaja terpesong dari Islam tetapi ia juga jauh menyimpang dari adat dan budaya Malaysia.

"LGBT tidak sesuai di negara kita kerana ia boleh merosakkan moral, akidah bahkan semua kaum dalam negara kita memang menentang hal ini. Gerakan ini semakin berani berkempen secara terbuka dan ini amat dikesali," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Srikandi Malaysia (GSIM), Wan Asshima Kamaruddin berkata, pihaknya sebagai wanita berasa tidak selesa dengan kedatangan dan kehadiran serta lambakan golongan LGBT ini.

"Kehadiran mereka telah merosakkan adab dan budaya wanita di negara ini. Tindakan mereka menuntut hak kemanusiaan langsung tidak boleh diterima akal dan fikiran kehidupan seseorang manusia.

"Bahkan ALLAH SWT menyelar tindakan mereka dan kedudukan mereka sama seperti binatang. Kebiadaban mereka menganjurkan himpunan itu telah mendiskriminasikan dan mencabuli kedudukan dan hak kami sebagai wanita asli di negara ini," katanya.

Wan Asshima menambah, justeru itu, GSIM mendesak polis dan Menteri Wilayah Persekutuan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan agama Islam termasuklah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan mereka dan mereka yang terlibat dalam himpunan itu.

Antara NGO Islam yang tampil membuat laporan polis hari ini ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid Malaysia), Gerakan Srikandi Malaysia (GSIM),Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung, Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama), Pertubuhan Kebajikan Harimau Keramat Malaysia dan Persatuan Kebajikan Kucing Merah Kuala Lumpur.

Masridzi (dua dari kiri) bersama pengerusi dan wakil-wakil NGO Islam yang membuat laporan polis di IPD Dang Wangi hari ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf