Idris beri jaminan sekat aktiviti perlombongan di DUN Asahan

Idris Haron
Idris Haron
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang menjadi calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan memberi jaminan akan menyekat aktiviti perlombongan yang menjejaskan keharmonian penduduk di DUN berkenaan.

Beliau berkata, selain mempunyai keindahan budaya, kesuburan tanah yang menjadikan Asahan sebagai hak pertanian negeri tidak terlepas menerima ancaman kesan daripada aktiviti perlombongan sejak sekian lama.

“Ada beberapa ancaman yang perlu kita lihat terutama berhubung kegiatan perlombongan yang telah lama berlaku sehingga menjejaskan penduduk di kawasan ini.

“Justeru, jika kerajaan PH diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu ini, kita akan memberhentikan semua kegiatan perlombongan di kawasan sekitar DUN Asahan,” katanya menerusi satu klip video bertajuk ‘Suara Untuk Semua’ yang disiarkan menerusi platform YouTube pada Selasa.

Di bawah inisiatif ‘Suara Untuk Semua’, kesemua calon yang bertanding pada PRN Melaka, tidak kira parti dan ideologi politik boleh menyediakan klip video mengenai diri mereka dan polisi masing-masing.

Ia akan dibawa untuk dihebahkan kepada pengundi menerusi Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily.

Sementara itu, Idris turut memberikan jaminan kepada 48 peneroka supaya masing-masing memperoleh geran kekal di kawasan Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh.

“Peneroka amat berharap supaya geran pajakan 99 tahun ditukarkan kepada geran kekal. Insya-ALLAH jika diberi kuasa, kerajaan negeri dan Persekutuan di bawah agensi Felda akan menyokong penuh serta menjamin semua 48 peneroka ini untuk memiliki geran kekal,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Idris berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya diadakan program pembangunan perumahan bagi generasi kedua di Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh dengan menawarkan tanah seluas kira-kira 1,500 meter persegi.

“Mereka tak perlu rumah. Mereka perlukan tanah untuk membina rumah sendiri. Ini adalah sebahagian jaminan untuk mengekalkan kelestarian Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh supaya ia kita tidak pupus dan kekal selamanya,” jelas beliau.

Bagi kawasan Nyalas pula, Idris turut nekad untuk membina sebuah stesen minyak dan klinik kesihatan yang lebih besar berkonsepkan ‘one stop center’.

“Kita akan mempunyai beberapa buah pondok bas dan stesen bas yang akan menghubungkan beberapa pekan seperti Batang Melaka, Nyalas, Masjid Baru dan Asahan.

“Ini antara azam kita untuk menjadikan ‘connectivity’ di kawasan DUN Asahan ini lebih mantap,” katanya.

Kerusi DUN Asahan menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), PH dan tiga calon Bebas.

Selain Idris yang beralih bertanding atas tiket PH mencuba nasib di kerusi kampung halamannya itu, turut bertanding ialah Fairul Nizam Roslan (BN) dan Danesh Basil (PN), manakala tiga lagi calon Bebas ialah Mohd Noor Salleh, Azmar Abdul Hamid dan Mohd Akhir Ayob.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my