Rasuah: MINDEF terbuka dalam sebarang siasatan

Ikmal Hisham (depan, tengah) pada Majlis Penyerahan Kotak Makanan, Program Bantuan Malaysia kepada Kementerian Pertahanan sempena inisiatif gerobok rezeki veteran Angkatan Tentera Malaysia di Pangkalan Udara TUDM Subang, pada Rabu.
Ikmal Hisham (depan, tengah) pada Majlis Penyerahan Kotak Makanan, Program Bantuan Malaysia kepada Kementerian Pertahanan sempena inisiatif gerobok rezeki veteran Angkatan Tentera Malaysia di Pangkalan Udara TUDM Subang, pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memberi kerjasama sebaiknya dalam sebarang siasatan susulan penarafan rendah dicatatkan negara bagi indeks antarabangsa berkaitan rasuah di sektor pertahanan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz bagaimanapun menegaskan, secara keseluruhannya MINDEF telah melaksanakan perolehan dan pembelian mengikut tatacara yang sedia ada.

Menurutnya, MINDEF telah menubuhkan pelbagai jawatankuasa untuk menyiasat semua isu-isu yang ada di kementerian dan jawatankuasa ini masih lagi aktif.

"Bagi tahun 2020, penambahbaikan juga telah dibuat bagi perolehan strategik yang melibatkan keselamatan dan kerahsiaan, dengan perlaksanaan secara tender terbuka bersesuaian contohnya kenderaan pengangkut berperisai (APC) ke Lubnan. Ini semua melalui tender terbuka.

"Bagaimanapun, jika ada cadangan penambahbaikan, boleh kemukakan. Kita terbuka dan tiada apa yang hendak disembunyikan.

"Kita akan sentiasa memberi kerjasama sebaiknya kepada sebarang siasatan sekali gus akan dapat menambah baik proses yang sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kotak Makanan, Program Bantuan Malaysia kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) sempena inisiatif gerobok rezeki veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini pada Rabu.

Malaysia mendapat penarafan D selepas mencatatkan skor 45 peratus untuk Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI) 2020 yang dikeluarkan Transparency International pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Menurut laman sesawang Transparency International Defence and Security, berdasarkan data yang dikumpul dari Ogos 2019 hingga Jun 2021, Malaysia dinilai mempunyai risiko rasuah yang tinggi dalam sektor pertahanannya.