'Konsultasi sebelum buat keputusan berkaitan judi'

Laporan Sinar Harian pada 14 November 2021
Laporan Sinar Harian pada 14 November 2021
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri perlu melakukan konsultasi dengan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan tidak meneruskan pemberian lesen premis perjudian selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di negeri ini.

Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, langkah itu bagi membolehkan perbincangan bersama pihak berkepentingan kerana melibatkan urusan bukan Islam.

"Pendirian saya berkaitan urusan bukan islam seperti judi dan arak ialah melaksanakan konsultasi dengan pihak kerajaan dan bukan kerajaan.

"Ia juga perlu melibatkan pemimpin masyarakat bukan Islam dengan mendapatkan pandangan mereka kerana isu ini subjektif. Ada orang kata baik, ada yang kata tidak baik," katanya pada sidang akhbar ADUN Pembangkang pada Selasa.

"Dalam konteks Malaysia negara majmuk dan menyentuh masyarakat bukan Islam, apabila pimpinan masyarakat atau komuniti bukan Islam menyatakan ia perkara tidak baik dan patut diharamkan, kita ikut kerana mereka lebih tahu," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Tan Kok Yew mempersoalkan sama ada Kedah mengadakan konsultasi dengan barisan Exco atau sebaliknya.

"Kerajaan negeri ketika ini merupakan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang memiliki parti-parti terdiri daripada ahli bukan Muslim. Jadi, apakah konsultasi yang telah dibuat," katanya.

Kok Yew menyatakan DAP sedang mempertimbangkan untuk memfailkan semakan kehakiman berhubung perkara itu kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan Kedah memutuskan tidak memberi kelulusan kepada permohonan baharu lesen perjudian dan tidak memperbaharui lesen perjudian sedia ada jika sudah tamat tempoh.

Keputusan Kedah mengehadkan aktiviti perjudian dan penjualan di negeri menerima reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.