Tiada penularan wabak kolera di Perak

Mohd Akmal ketika hadir ke Simposium Kuari dan Kilang Kelapa Sawit Lestari sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negeri Perak 2021 di Ipoh pada Selasa.
Mohd Akmal ketika hadir ke Simposium Kuari dan Kilang Kelapa Sawit Lestari sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negeri Perak 2021 di Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Tiada kes wabak kolera dilaporkan di seluruh negeri Perak setakat ini, kata Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin.

Menurut Mohd Akmal, semua pihak bagaimanapun perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan penjagaan kebersihan diri dan pemakanan yang betul bagi memastikan tidak berlaku jangkitan wabak tersebut di negeri ini.

"Kita ambil maklum bahawa kes ini sudah ada di Selangor, di Perak setakat ini tiada lagi laporan diterima.

"Harapan kita agar semua rakyat di negeri ini memberi kerjasama, jagalah kebersihan diri dan pemakanan, amalkan minum air yang telah dirawat atau dididihkan dan elakkan makanan mentah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Kuari dan Kilang Kelapa Sawit Lestari sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negeri Perak 2021 di sini pada Selasa.

Mohd Akmal berkata, kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap penularan wabak itu memandangkan ia boleh membawa kepada kematian.

"Kita nasihatkan mana-mana individu yang mempunyai gejala walaupun sedikit agar segera berjumpa doktor," katanya.

Pada Ahad, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan kes taun atau kolera dikesan di daerah Petaling, Selangor.

Artikel Berkaitan:

Penyakit kolera atau taun merupakan penyakit bawaan air dan makanan yang berpunca daripada jangkitan bakteria.

Mereka yang dijangkiti akan mengalami cirit-birit manakala gejala serius boleh membawa maut akibat dehidrasi yang teruk.