Ekonomi Kitaran pemangkin kelestarian pengurusan plastik

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Konsep Ekonomi Kitaran merupakan tukaran pemangkin ke arah kelestarian pengurusan plastik dan penjanaan sumber ekonomi baharu negara.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, berdasarkan laporan World Bank, potensi kitar semula plastik ialah sekitar AS$1.3 bilion setahun.

"Salah satu fokus matlamat pembangunan mampan ialah kelestarian sumber laut dan menangani pencemaran marin seperti lambakan plastik marin dan ancaman mikro plastik terhadap kelangsungan hidupan akuatik," katanya.

Menurut beliau, pelbagai langkah penyelesaian telah diambil termasuk penggubalan satu perjanjian global khas bagi menangani isu plastik marin.

"Di Malaysia, kita menggunakan idea Pelan Hala Tuju Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018 hingga 2030," katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Sea Of Solutions (SoS) pada Selasa.

Beliau berkata, pelan tersebut dilaksanakan berpandukan Rangka Kerja Pengurusan Plastik 2021-2030 yang memfokuskan kepada pelaksanaan 'Extended Producer Responsibility' dan konsep kitaran semula bagi mengurangkan sisa plastik di sepanjang rantaian nilai.

"Malaysia mempunyai pesisir pantai sepanjang 4,809 kilometer dan ekosistem lautan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat penting bagi negara seperti industri perikanan, perlombongan minyak dan gas, perkhidmatan pelabuhan, pelancongan serta rekreasi marin," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, pengurusan marin kini semakin mencabar, sumber lautan dan ekosistem marin merosot dan pencemaran lautan membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

"Mutakhir ini, isu sisa plastik marin mendapat liputan penting dalam pelbagai wacana serantau dan antarabangsa," katanya.

Mendepani cabaran kritikal tersebut, ujarnya, Malaysia dengan kerjasama Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) dan The Coordinating Body on the Seas of East Asia (COBSEA) berganding bahu menganjurkan persidangan tersebut.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 November itu mengumpulkan pakar, penggubal dasar dan semua pihak berkepentingan untuk membincangkan strategi bagi menangani pencemaran sisa plastik marin.

Program yang dianjurkan secara maya itu turut disertai Pengarah Bahagian Ekosistem UNEP, Susan Gardner dan Pengarah Serantau Asia dan Pasifik UNEP, Dechen Tsering serta Duta Sweden ke Thailand, Jon Åström Gröndahl.

Tema SoS 2021 ialah 'Accelerating Solutions to Reduce Plastic Waste' membabitkan enam sesi interaktif dan satu sesi dialog panel peringkat tinggi.