X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

Mahkamah jenayah tiada kuasa batal perbicaraan kes rasuah Rosmah

Rosmah - Foto fail Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Pasukan pendakwaan berhujah di Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin bahawa mahkamah jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan deklarasi yang dipohon Datin Seri Rosmah Mansor bagi membatalkan perbicaraan kes rasuah projek hibrid solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) ad-hoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata demikian ketika mengemukakan bantahan awal berhubung isu itu di hadapan tiga panel diketuai Datuk Hanipah Farikullah bersama dua hakim, Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.

Sri Ram berkata, permohonan perayu (Rosmah) sepatutnya dibuat di mahkamah sivil dan bukan mahkamah jenayah.

"Mahkamah jenayah tiada bidang kuasa untuk memberikan sebarang perintah berbentuk deklarasi dalam kes-kes jenayah kecuali membebaskan, mensabitkan atau membatalkan pertuduhan kes," katanya.

Bagaimanapun, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu membantah hujahan pihak pendakwaan dengan alasan ia merupakan perkara yang baharu yang dibangkitkan hari ini (Isnin) atau bersifat sesuatu yang difikirkan kemudian.

Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, panel hakim memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 22 November ini.

Hanipah berkata, isu bidang kuasa mahkamah adalah kritikal dan mempunyai implikasi terhadap merit rayuan berkenaan.

"Mahkamah membenarkan penangguhan bagi membolehkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan lanjut, hanya bagi isu sama ada mahkamah jenayah mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah berbentuk deklarasi," katanya.

Pada 24 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes rasuah yang dihadapinya.

Dalam penghakimannya, pelantikan Sri Ram oleh Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas (ketika itu) adalah sah selain tiada keperluan untuk membahaskan isu kesahihan berhubung fiat (surat pelantikan).

Dalam prosiding terdahulu, Sri Ram berhujah, pelantikannya selaku pendakwa raya bermula 30 Ogos 2018, adalah sah.

Beliau berhujah, Seksyen 50(b) Akta Tafsiran 1948/1967 (Akta 388) menyatakan mana-mana badan boleh melantik individu yang sesuai secara kebelakang (retrospektif) untuk melaksanakan tugasnya.

Pada 4 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan isteri Datuk Seri Najib Razak itu untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya sementara rayuan diputuskan.

Susulan keputusan itu, Rosmah yang akan berusia 70 tahun Disember ini telah memberi keterangan membela diri pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi bermula 5 Oktober dan akan bersambung pada 8 Disember.

Rosmah memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi pada 6 Mei lalu untuk membatalkan keseluruhan perbicaraannya, dalam usaha untuk dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan serta menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa utama.

Beliau memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April lalu membenarkan rayuannya untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram selepas pihak pendakwaan bersetuju untuk menyerahkan kepada pihak pembelaan.

Rayuan itu dikemukakan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya berhubung surat pelantikan Sri Ram pada 19 Ogos tahun lalu.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!