Woman's March perjuang agenda mengarut: Muslimat Pas

Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan himpunan NGO dicemari penyokong LGBT, semalam.
A
A

KUALA LUMPUR - Himpunan Woman's March adalah satu agenda mengarut dan jelas menunjukkan kedangkalan atau ketidak perihatinan pemahaman pendokong itu terhadap akar budaya rakyat Malaysia yang menekankan adab sopan dan budi pekerti mulia.

Ketua Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh berkata, intipati daripada laungan ‘Hidup Wanita’, ‘Hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)’, ‘Hentikan Stereotaip dan Prejudis’, serta perjuangan kesaksamaan gender adalah berlawanan dengan norma masyarakat Malaysia kerana ia hanya berakar umbi daripada gerakan di Barat serta Eropah.

“Muslimat Pas ingin menegaskan bahawa ALLAH SWT secara jelas mencegah dan melarang gaya hidup LGBT dalam Surah al-A'raf ayat 80-81, dan tindakan mempromosi dan mempertahankan hak LGBT dilihat sebagai mencabar perintah ALLAH SWT dan ianya amat memalukan kerana Malaysia merupakan sebuah negara Islam.

“Kami menyeru agar semua wanita tidak mengikuti ajaran songsang ini dan terus mengenal Islam serta ajarannya yang sebenar dan kami percaya agama lain juga mencegah perbuatan songsang yang tidak mendatangkan manfaat kepada penganutnya,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Semalam, himpunan yang diadakan di ibu kota oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sempena Hari Wanita Antarabangsa dicemari dengan kehadiran penyokong LGBT yang melaungkan ‘Hidup LGBT’.

Peserta perhimpunan itu berarak dari pusat beli-belah Sogo hingga ke Masjid Jamek.

Dalam pada itu, Muslimat Pas turut mengecam tindakan kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Sister In Islam (SIS), sebuah pertubuhan yang telah difatwakan sesat oleh Majlis Agama Islam Selangor, serta perjuangannya bertentangan dengan kehendak rakyat Malaysia.

“Muslimat PAS menyatakan bantahan terhadap perhimpunan dan segala kehendak golongan liberal seperti SIS dan Women Aid Organization (WAO) untuk menyemai idea liberal dan feminisme di Malaysia,” katanya.