Perkeso mudahkan permohonan suri rumah melalui Program Kasih Suri Keluarga Malaysia

Ismail (kanan) menerangkan mengenai faedah Perkeso yang diterima oleh Sazalina ketika lawatan di rumah wanita berkenaan di Setapak pada Khamis.
Ismail (kanan) menerangkan mengenai faedah Perkeso yang diterima oleh Sazalina ketika lawatan di rumah wanita berkenaan di Setapak pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan memudahkan proses permohonan untuk mendapatkan manfaat di bawah Program Kasih Suri Keluarga Malaysia yang akan bermula pada tahun hadapan.

Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi, Ismail Abi Hashim berkata, langkah itu penting supaya faedah daripada inisiatif berkenaan dapat diterima dengan mudah oleh kesemua kumpulan suri apabila berlaku musibah, khususnya golongan B40 yang pastinya amat memerlukan bantuan apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Permohonan bagi mendapatkan bantuan faedah daripada program ini adalah sama seperti skim lain di bawah Perkeso.

“Namun, jika pencarum terlibat dengan sebarang kemalangan atau musibah, kami menyeru orang terdekat seperti ahli keluarga, jiran, sahabat handai atau sesiapa jua untuk memaklumkan insiden tersebut kepada kami agar mangsa dapat dibantu dengan segera tanpa perlu menunggu mereka datang membuat permohonan.

“Bagi kes suri rumah ini, dia sama seperti kumpulan yang pekerja yang lain. Perkeso akan sentiasa mencari cara untuk membantu mempermudahkan (permohonan),” katanya ketika lawatan ke kediaman suri rumah, Sazalina Zainal, 38 yang menerima tunggakan Pencen Ilat dan Elaun Layanan Sentiasa (ELS) berjumlah RM13,435.64 di Setapak di sini pada Khamis.

Sazalina menerima faedah Perkeso itu selepas suaminya yang juga bekas pegawai perolehan di syarikat pembinaan, Badli Shah Mohd Shah, 46, disahkan menghidap keilatan barah otak pada Jun lalu dan meninggal dunia empat bulan kemudian akibat Septic Shock disebabkan radang paru-paru.

Artikel Berkaitan:

Sazalina menunjukkan gambar keadaan kepala suaminya selepas menjalani pembedahan rawatan barah otak di hospital pada tahun ini.
Sazalina menunjukkan gambar keadaan kepala suaminya selepas menjalani pembedahan rawatan barah otak di hospital pada tahun ini.

Selain turut menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000, Sazalina mendapat manfaat pencen penakat hasil daripada caruman Perkeso yang dibuat suaminya sebelum ini.

Sazalina yang menjadi suri rumah sejak tahun 2014 itu juga merupakan antara kumpulan individu yang bakal menikmati faedah di bawah Program Kasih Suri Keluarga Malaysia pada tahun hadapan.

“Perlindungan disediakan di bawah program ini meliputi kemalangan yang berlaku ketika mereka melakukan kerja rumah seperti memasak, membasuh baju dan pergi ke pasar,” jelas Ismail.

ISMAIL
ISMAIL

Katanya, jika individu tersebut memenuhi syarat dan terma di bawah program berkenaan, mereka layak untuk menerima manfaat di bawah mana-mana daripada dua skim program tersebut iaitu Skim Hilang Upaya dan Skim Keilatan.

Antara faedahnya ialah hilang upaya kekal, perubatan, elaun layanan sentiasa dan kemudahan pemulihan jasmani dan vokasional bagi Skim Hilang Upaya. Manakala, elaun keuzuran, pencen penakat, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan faedah pengurusan mayat bagi Skim Keilatan.

Selain maklumat sedia ada daripada pencarum dan penerima faedah, Perkeso juga akan mendapatkan maklumat daripada agensi kerajaan lain bagi memastikan tiada golongan yang tertinggal daripada menerima perlindungan ini.

Beliau meminta suri rumah di seluruh negara menghubungi Perkeso jika terdapat sebarang pertanyaan mengenai program tersebut sebaik ia dikuatkuasakan tahun hadapan.

Sazalina turut menghargai keprihatinan Perkeso yang proaktif untuk menguruskan proses permohonan faedahnya meskipun berhadapan dengan kekangan pergerakan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).

Dalam pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober lalu, kerajaan memperuntukkan RM80 juta menerusi Program Kasih Suri Keluarga Malaysia bagi memberi perlindungan sosial kepada suri rumah sehingga berusia 55 tahun.

Selain itu, kerajaan menerusi Perkeso turut menaikkan kadar minimum Pencen Penakat yang dibayar kepada Orang Tanggungan yang layak daripada RM475 sebulan kepada RM550 sebulan yang dijangka bakal memanfaatkan seramai 56,000 isi rumah.

Untuk maklumat lanjut, muat turun aplikasi Prihatin Perkeso melalui App Store/Google Play, hubungi 1-300-22-8000 atau layari laman sesawang Perkeso.