e-Ternak, Kelantan perkemas pangkalan data haiwan ruminan

Tuan Mohd Saripudin (kanan) dan Dr Anisa menunjukkan contoh sistem e-Ternak semasa majlis perasmiannya di Hotel Ibis Styles, Kota Bharu pada Sabtu.
Tuan Mohd Saripudin (kanan) dan Dr Anisa menunjukkan contoh sistem e-Ternak semasa majlis perasmiannya di Hotel Ibis Styles, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memperkenalkan sistem e-Ternak dalam usaha memperkemaskan pangkalan data berkait dengan jumlah haiwan ternakan ruminan di negeri ini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, e-Ternak itu akan menggantikan sistem rekod manual sebelum ini yang menggunakan buku log.

"Sistem ini akan dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan.

"Melalui sistem ini, kita akan membuat pemantauan jika ada ternakan yang terkena jangkitan kita akan memberikan rawatan," katanya selepas merasmikan Sistem e-Ternak di Hotel Ibis Styles di sini pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Seksyen Komoditi Ternakan Bahagian Pembangunan Industri Ternakan, Dr Anisa Abu Bakar.

Menurutnya, kerajaan berharap golongan penternak di negeri ini dapat memberikan kerjasama dengan mendaftarkan ternakan mereka menerusi sistem ini.

Beliau berkata, JPV Kelantan akan turun padang untuk membantu golongan penternak berdaftar dengan sistem tersebut.

Tuan Mohd Saripudin berkata, sehingga kini terdapat kira-kira 100,000 penternak di Kelantan yang aktif melakukan aktiviti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai musim tengkujuh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu berkata, golongan penternak dinasihatkan supaya membuat persiapan awal untuk berdepan banjir.

Katanya, persiapan awal itu penting bagi mengelakkan para penternak berdepan kerugian.

"Musim tengkujuh juga boleh membantutkan tumbesaran anak-anak haiwan ruminan yang baharu lahir khususnya lembu atau kambing," katanya.