Menyamar polis samun penunggang motosikal

Kenderaan yang digunakan suspek semasa diserbu. Gambar kecil: Pil Yaba yang berjaya dirampas semasa tangkapan dilakukan terhadap dua suspek berkenaan.
Kenderaan yang digunakan suspek semasa diserbu. Gambar kecil: Pil Yaba yang berjaya dirampas semasa tangkapan dilakukan terhadap dua suspek berkenaan.
A
A
A

TANAH MERAH – Dua individu yang menyamar sebagai anggota polis ketika menyamun seorang penunggang motosikal berjaya diberkas bersama 4,000 pil Yaba dalam satu serbuan di Taman Kota Harmoni, pada petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, kedua-dua suspek berusia 38 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine dan seorang daripadanya mempunyai enam rekod lampau melibatkan kes dadah serta jenayah.

Menurut beliau, kedua-dua suspek sebelum itu menyamar sebagai anggota polis ketika menyamun seorang penunggang motosikal berusia 23 tahun pada 11 November lalu di Jalan Lawang Kawasan Kampung Batu Jong Batu Gajah, dekat sini.

"Dalam kejadian jam 6.15 petang Khamis itu, suspek yang menaiki kereta jenis Proton Saga putih telah menyekat laluan mangsa dengan mendakwa sebagai polis. Salah seorang suspek turun dari kenderaan dan meminta penunggang motosikal tersebut supaya menyerahkan semua barangannya untuk diperiksa kerana dikatakan tokan dadah.

"Suspek memberitahu akan tangkap mangsa jika tidak mahu serahkan barang. Mangsa yang ketakutan kemudian menyerahkan barang-barang seperti beg silang, dompet serta dua telefon jenis Iphone 7 Plus dan Vivo Y93 dan kerugian kira-kira RM1,350 termasuk dua buah telefon bimbit dan sebentuk cincin.

"Bagaimanapun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan hadir ke balai untuk membuat laporan mengenai kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Mengulas lanjut, selain dua suspek berkenaan, seorang lagi rakan mereka berusia 22 tahun yang juga positif dadah jenis benzo dan mempunyai satu rekod lampau ditangkap pada jam 5.30 petang Sabtu di sebuah bengkel di Jalan Wan Ahmad, di sini.

Kesemua suspek dipercayai terlibat kes samun menggunakan parang.

Artikel Berkaitan:

“Hasil siasatan awal mendapati dua suspek utama bertutur dalam dialek utara. Nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek juga gagal dikenal pasti. Suspek pertama mengaku menemani rakannya untuk menjual dadah.

“Hasil soal siasat ke atas suspek kedua dan ketiga pula mendapati mereka mengaku melakukan tujuh kes samun di kawasan sekitar Tanah Merah. Antara kes samun dilakukan suspek adalah empat kes melibatkan warga asing di rumah kongsi, dua kes ke atas penunggang motosikal dan satu kes samun kedai runcit,” katanya.

Tambah Zainuddin, suspek utama dan kedua direman bermula pada Sabtu sehingga 18 November ini sementara suspek ketiga direman bermula dari 14 November hingga 20 November bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman berdasarkan akta berkenaan.

“Selain itu, kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 39B Akta dadah Merbahaya yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. Berdasarkan semakan, tujuh kes samun telah dilakukan oleh suspek di kawasan daerah Tanah Merah," katanya.