Petugas media di Sabah mula terima dos penggalak

Shahelmey meninjau proses pemberian vaksin dos penggalak Covid-19 kepada petugas media Sabah di SICC Kota Kinabalu.
Shahelmey meninjau proses pemberian vaksin dos penggalak Covid-19 kepada petugas media Sabah di SICC Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Petugas media di negeri ini mula menerima vaksin dos penggalak seperti yang disarankan bagi meningkatkan tahap imuniti terhadap Covid-19.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, seramai 140 petugas media yang telah lengkap dos vaksin jenis Sinovac atau Pfizer telah mengambil dos penggalak.

"Inisiatif pemberian dos penggalak ini adalah kerana kita melihat petugas media adalah sebagai sebahagian petugas barisan hadapan dan mereka sentiasa bertugas dalam kelompok yang agak ramai.

"Jadi, eloklah petugas media mendapatkan dos penggalak bagi meningkatkan lagi daya ketahanan diri masing-masing," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin kepada petugas media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad.

Beliau yang juga Exco Kesihatan Sabah berkata, petugas media di luar daerah Kota Kinabalu juga boleh berbuat demikian dengan mendapatkan dos penggalak di klinik kesihatan di kawasan masing-masing.

Mengulas lanjut berhubung pemberian dos penggalak kepada rakyat di negeri ini, Shahelmey berkata, seramai 48,461 orang telah menerima dos penggalak setakat ini.

"Pemberian dos penggalak kepada petugas barisan hadapan dan mereka yang berusia 60 tahun ke atas telah dilaksanakan di negeri ini.

"Malah, saya sebagai Exco Kesihatan negeri juga amat mengalu-alukan pemakluman daripada Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) bahawa individu berusia 40 tahun ke atas dan telah memenuhi kriteria boleh mendapatkan dos penggalak secara terus di tempat berdekatan, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan, bagi mereka yang telah menerima janji temu di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan dos penggalak supaya hadir pada tarikh yang telah ditetapkan.