Usahawan disaran rebut peluang perniagaan francais

Zakaria (tengah) mendengar penerangan mengenai produk makanan segera sewaktu melawat gerai pameran selepas program Bizfrancais Sabah di Dewan Libaran pada Sabtu. - Foto Bernama
Zakaria (tengah) mendengar penerangan mengenai produk makanan segera sewaktu melawat gerai pameran selepas program Bizfrancais Sabah di Dewan Libaran pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SANDAKAN - Usahawan di negara ini, khususnya pengusaha kecil dan sederhana (PKS) serta golongan yang pernah terkesan dengan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lepas, harus merebut peluang dalam perniagaan francais yang semakin berkembang.

Pengerusi Perbadanan Nasional Bhd (Pernas), Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, pertumbuhan industri francais negara semakin berkembang sejak 2016 dan mampu memperbaiki ekonomi para usahawan yang menceburi perniagaan itu.

"Potensi industri francais sangat besar kerana kita boleh melihat industri ini menunjukkan perkembangan positif dari tahun ke tahun.

"Menurut Laporan Tahunan Perniagaan Francais, nilai jualan sebanyak RM8.66 bilion pada 2016 telah melonjak kepada RM13.3 bilion pada 2019," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program BizFrancais Pernas di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd Hilaluddin Abd Sukor.

Zakaria berkata, Pernas bersedia membantu usahawan yang berminat untuk menceburi perniagaan francais dan telah meluluskan RM7.7 juta pembiayaan susulan penganjuran program BizFrancais di lapan lokasi di seluruh negara sejak digerakkan pada 2019.

Bagi program itu di Sandakan, beliau berkata, Pernas mensasarkan potensi pembiayaan kira-kira RM2.97 juta.

Zakaria yang juga Ahli Parlimen Libaran turut meminta Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk merangka kertas kerja untuk beliau bangkitkan dalam mesyuarat lembaga ahli pengarah Pernas mengenai cadangan mewujudkan satu lagi koridor di Sabah berpusat di Sandakan.

Artikel Berkaitan:

"Sabah ini juga berkeluasan luas berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung dan memerlukan satu lagi koridor Pernas supaya rakyat di negeri ini berpeluang merasai perkhidmatan dan manfaat Pernas.

"Pejabat Pernas sedia ada di Kota Kinabalu boleh berperanan di kawasan pantai barat Sabah manakala pejabat di Sandakan jika direalisasikan akan mengawal selia perkhidmatan di bahagian pantai timur negeri," katanya.

Timbalan Persiden MPS, Faridah Giau dalam ucapannya sebelum itu berkata, MPS masih memerlukan badan-badan seperti Pernas untuk membantu membangunkan para usahawan di Sandakan.

Pada program BizFrancais itu, pelbagai aktiviti dianjurkan, antaranya sesi perkongsian ilmu usahawan francais, taklimat daripada Pernas MPS dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta klinik perniagaan bersama jenama francais, pra-francais dan jenama di bawah program Transformasi Perniagaan (Business in Transformation) (BIT) seliaan Pernas untuk usahawan kecil ke arah perniagaan francais.

Program BizFrancaiz itu turut menampilkan 21 jenama francais dan pra-francais antaranya Marrybrown, Gloria Jean's Coffee, Polperro, Lesong Mart dan Mok Corner. - Bernama