Penduduk mohon selesai isu dua taman, satu kampung ‘terpinggir’

Sungai Udang merupakan salah satu DUN di dalam Parlimen Tangga batu dan DUN berkenaan terdapat Kem Terendak yang merupakan kem tentera, selain Penjara Sungai Udang dan Loji Penapisan Petronas dengan jumlah pengundi berdaftar sebanyak 22,866 orang dan 9,577 orang daripadanya adalah tentera dan polis, yang merupakan pengundi awal. - Foto Bernama
Sungai Udang merupakan salah satu DUN di dalam Parlimen Tangga batu dan DUN berkenaan terdapat Kem Terendak yang merupakan kem tentera, selain Penjara Sungai Udang dan Loji Penapisan Petronas dengan jumlah pengundi berdaftar sebanyak 22,866 orang dan 9,577 orang daripadanya adalah tentera dan polis, yang merupakan pengundi awal. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Penduduk di dua taman perumahan dan sebuah kampung di sini memohon kepada kerajaan agar menyelesaikan masalah taman dan kampung mereka yang ‘terpinggir’, ekoran persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun 2018.

Penduduk taman dan kampung berkenaan, Rahmat Jalil berkata, ekoran persempadanan itu Taman Indah, Taman Terendak Heights dan Perkampungan Tanah Merah, dimasukkan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di bawah daerah Alor Gajah, namun penduduknya adalah pengundi kawasan DUN Sungai Udang.

“Ikut kariah, kami di bawah Sungai Udang tetapi ikut kawasan (DUN), kami di bawah Alor Gajah (DUN Lendu). Kami diperlakukan seperti bola dan diminta untuk tukar tempat mengundi,” kata Rahmat, 50, seorang pesara tentera dari Taman Terendak Heights kepada Bernama di sini.

Menurut Rahmat, 'kelainan' itu menyebabkan penduduk di tiga kawasan berkenaan sukar mendapatkan bantuan daripada wakil rakyat, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan pihak berkuasa tempatan kerana pihak tersebut turut keliru dengan situasi tersebut.

“Bila penduduk ke Masjid Tanah mereka suruh minta bantuan ke Sungai Udang dan sebaliknya berlaku. Memang susah sedangkan apabila daftar mengundi automatik kami diletakkan sebagai pengundi DUN Sungai Udang, mengikut kawasan tempat kami tinggal.

Penduduk Taman Indah Raja, Azhar Raja Majid, 55, berkata, penduduk taman itu yang ingin mendapatkan rawatan atau pemeriksaan kesihatan, perlu ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah di daerah Alor Gajah yang terletak kira-kira 13 kilometer dari taman berkenaan.

“Begitu juga sekiranya penduduk ingin membuat laporan polis, laporan itu perlu di Balai Polis Masjid Tanah, keadaan ini menyukarkan dan membebankan kami terutama kepada penduduk yang tidak mempunyai kenderaan serta warga emas, yang perlu bergerak jauh bagi mendapatkan kemudahan itu.

“Kami pengundi di DUN Sungai Udang dan sepatutnya dapat menikmati kemudahan yang sama seperti penduduk taman lain di dalam DUN ini, tetapi sebaliknya yang berlaku,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Raja Azhar yang bekerja sendiri dan telah menetap lebih 14 tahun di Taman Indah berkata, perkara itu telah beberapa kali diusulkan penduduk di tiga kawasan berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kerajaan negeri sebelum ini, namun sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian.

Sementara itu, Rahmat memohon kepada kerajaan agar membina sekolah baharu di DUN Sungai Udang memandangkan hanya dua sekolah di DUN itu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Udang dan Sekolah Kebangsaan Sungai Udang, berbanding kepadatan penduduk yang semakin meningkat.

Katanya, sekiranya kuota kemasukan pelajar di kedua-dua sekolah berkenaan telah penuh, penduduk perlu menghantar anak mereka di sekolah berhampiran, yang terletak di luar DUN Sungai Udang.

Dalam perkembangan lain, penduduk Taman Desa Taming Sari Isa Hashim, 61, pula meminta wakil rakyat baharu DUN Sungai Udang yang diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini, agar menaik taraf jalan raya di DUN itu khususnya di hadapan Kem Terendak ke Tangga Batu, bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

“Jumlah kenderaan di dalam DUN Sungai Udang semakin banyak kerana penduduk bertambah, tetapi jalan raya sempit. Kemudahan jalan raya penting dan ia perlu dinaik taraf mengikut keadaan semasa di kawasan ini.

“Selain itu, Klinik Kesihatan Sungai Udang juga perlu dinaik taraf kerana ia telah berusia lebih 30 tahun, dan hanya sebuah sahaja klinik kesihatan di DUN ini untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk, selalunya pada hari Isnin dan Khamis akan sesak dengan pesakit,” katanya.

Sungai Udang merupakan salah satu DUN di dalam Parlimen Tangga batu dan DUN berkenaan terdapat Kem Terendak yang merupakan kem tentera, selain Penjara Sungai Udang dan Loji Penapisan Petronas dengan jumlah pengundi berdaftar sebanyak 22,866 orang dan 9,577 orang daripadanya adalah tentera dan polis, yang merupakan pengundi awal.

PRN Melaka pada 20 November ini bakal menyaksikan saingan empat penjuru antara Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), Dr Mohd Aleef Yusof (Perikatan Nasional), Hasmorni Tamby (Pakatan Harapan) dan Mejar Jeneral (B) Datuk Mohd Zahar Hasim (Bebas).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Sungai Udang dimenangi Datuk Seri Idris Haron dari BN dengan majoriti 2,229 undi menewaskan Mohd Lokman Abdul Gani (PKR).

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri. - Bernama