Henti guris perasaan antara parti

Mustapha
A
A

SHAH ALAM - Parti UMNO, MCA dan MIC digesa menghentikan tabiat mengeluarkan kenyataan yang boleh menggores hati mana-mana parti dalam komponen BN.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, sikap tersebut perlu diubah bagi mengelakkan perbalahan yang membawa kepada perpecahan gabungan parti politik terbabit.

"Sekiranya, BN ingin kekal utuh dan melangkah ke depan maka mereka harus berhenti melakukan tindakan mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan UMNO, MCA atau MIC.

"Kita perlu menjaga sensitiviti sesama parti. Cukup-cukuplah membangkitkan isu berbaur perkauman atau mempersoalkan kewibawaan dan peranan sesebuah parti yang berada dalam BN," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai kesepakatan UMNO, MCA dan MIC untuk terus kekal dalam satu gagasan, Mustapha memberitahu, veteran UMNO menyambut baik keputusan tersebut.

"Ia merupakan keputusan bijak sekali gus mengembalikan semangat perikatan pada 1973. Saya melihat, isu ini tercetus selepas UMNO mengambil keputusan menjalinkan kerjasama dengan Pas sehingga menimbulkan rasa 'curiga' terhadap MCA dan MIC.

"Hakikatnya, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana UMNO dan Pas tidak akan memencil apatah lagi mengabaikan bangsa-bangsa lain di negara ini," jelasnya.

Menurut beliau, diharapkan selepas ini tiada lagi wujud perasaan was-was antara parti. MCA dan MIC perlu meyakinkan ahli mereka bahawa BN masih relevan. Masing-masing harus berusaha mengukuhkan perpaduan supaya parti komponen itu tidak berkubur.

Semalam, UMNO, MCA dan MIC memutuskan untuk terus kekal dalam satu gagasan selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang berlangsung di Kuala Lumpur memutuskan tiada pembubaran.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, dalam mesyuarat tersebut Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong membentangkan resolusi parti untuk membubarkan BN.

Bagaimanapun, UMNO dan MIC tidak bersetuju kerana berpendapat tiada keperluan membubarkan barisan yang ditubuhkan lebih 44 tahun.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia