Lebihan imbangan akaun semasa Malaysia mengecil RM11.6 bilion

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

IMBANGAN Akaun Semasa Malaysia (CAB) merekodkan lebihan RM11.6 bilion pada suku tahun ketiga (S3) 2021, berbanding RM14.4 bilion pada suku sebelumnya (S2 2021), kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, lebihan akaun semasa yang mengecil pada suku ini disebabkan oleh defisit yang lebih tinggi dalam akaun pendapatan.

“Akaun pendapatan primer mencatatkan defisit yang lebih tinggi sebanyak RM11.3 bilion berbanding RM9.5 bilion pada suku tahun kedua 2021, disumbangkan terutamanya oleh syarikat asing di Malaysia yang memperoleh pendapatan lebih tinggi sebanyak RM26.3 bilion, peningkatan sebanyak 3.3 peratus daripada suku sebelumnya, khususnya dalam pelaburan langsung.

“Syarikat ini kebanyakannya terlibat dalam sektor pembuatan dan kewangan iaitu pendapatan disalurkan terutamanya ke Singapura, Belanda dan Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, syarikat Malaysia di luar negara memperoleh pendapatan yang lebih rendah sebanyak RM18.0 bilion berbanding RM19.3 bilion pada suku sebelumnya, khususnya dalam pelaburan lain.

“Kebanyakan syarikat ini terletak di Indonesia, AS dan Singapura, terutamanya terlibat dalam sektor kewangan dan perlombongan.

“Selanjutnya, akaun pendapatan sekunder mencatatkan defisit yang lebih tinggi sebanyak RM3.1 bilion berbanding RM1.4 bilion pada suku lepas. Akaun ini mencatatkan penerimaan yang lebih rendah sebanyak RM4.3 bilion disebabkan oleh penyelesaian lebih rendah yang diterima dari luar negara, manakala bayaran adalah sebanyak RM7.4 bilion pada suku ini,” tambah beliau.

Mohd Uzir menyatakan sebahagian besar lebihan akaun semasa Malaysia masih disokong oleh eksport bersih yang lebih tinggi dalam akaun barangan dengan RM41.2 bilion berbanding RM40.7 bilion pada suku sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

“Jika dibandingkan dengan suku tahun kedua 2021, eksport barangan menurun pada kadar yang lebih perlahan berbanding import yang seterusnya menyumbang kepada eksport bersih yang lebih tinggi pada suku tahun ini.

“Eksport merosot 3.1 peratus suku ke suku kepada RM236.6 bilion, terutamanya dalam produk berasaskan elektrik & elektronik (E&E), kimia dan petroleum; sebahagian besarnya ke China, Singapura dan AS,” katanya.

Beliau menjelaskan, import barangan turun 3.9 peratus dari suku ke suku kepada RM195.4 bilion berbanding suku sebelumnya disebabkan trend menurun bagi import barangan perantaraan, modal dan penggunaan terutamanya dari China dan Jepun.

Mohd Uzir memberitahu, pada suku ini perdagangan perkhidmatan bertambah baik selepas mencatatkan peningkatan defisit untuk tujuh suku tahun berturut-turut sejak suku tahun terakhir 2019.

Perkhidmatan mencatatkan defisit sebanyak RM15.2 bilion berbanding RM15.4 bilion pada suku sebelumnya, sebahagiannya diimbangi oleh komponen pengangkutan, perkhidmatan perniagaan lain dan pembinaan, walaupun perjalanan kekal dalam arah aliran negatif dengan mencatatkan defisit yang lebih tinggi sebanyak RM3.7 bilion berbanding defisit RM3.6 bilion pada suku tahun kedua 2021 berikutan penutupan sempadan untuk ketibaan pelancong antarabangsa, katanya.

Pada suku ketiga 2021, peningkatan dalam eksport perkhidmatan ialah 1.9 peratus suku ke suku kepada RM21.5 bilion, lebih pantas berbanding import yang meningkat sedikit sebanyak 0.5 peratus kepada RM36.7 bilion.

Pengangkutan mencatatkan defisit yang lebih rendah sebanyak RM8.0 bilion berbanding RM8.1 bilion pada suku sebelumnya, terutamanya didorong oleh peningkatan dalam eksport muatan.

“Trend yang sama dilihat dalam perkhidmatan perniagaan lain dengan defisit yang lebih rendah sebanyak RM1.1 bilion, meningkat 7.1 peratus berbanding suku sebelumnya, terutamanya dalam aktiviti perundingan perniagaan dan pengurusan.

“Pada masa yang sama, pembinaan mencatatkan lebihan RM19.6 juta daripada defisit RM245.1 juta pada suku kedua tahun ini disebabkan bayaran yang lebih rendah bagi projek sedia ada dalam negara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula Mei 2021 bagi membendung penularan Covid-19,” kata Mohd Uzir.

Ketua perangkawan turut menekankan bahawa akaun kewangan berubah arah kepada aliran masuk bersih RM22.8 bilion pada suku ini, daripada aliran keluar bersih RM7.0 bilion pada suku sebelumnya.

Ini terutamanya disumbangkan oleh aliran masuk dalam pelaburan langsung dan pelaburan lain yang mana masing-masing mencatatkan RM17.6 bilion dan RM8.8 bilion.

Mohd Uzir berkata, pelaburan langsung asing (FDI) berkembang sebanyak RM4.6 bilion dengan mencatatkan aliran masuk lebih tinggi sebanyak RM12.8 bilion pada suku ini, terutamanya dalam bentuk ekuiti dan dana pelaburan saham.

“Pembuatan kekal sebagai sektor utama pelaburan asing di Malaysia, diikuti oleh aktiviti kewangan dan perdagangan borong dan runcit. Sumber utama FDI adalah dari Singapura, Belanda dan AS.

“Sementara itu, pelaburan langsung di luar negeri (DIA) berubah arah kepada aliran masuk bersih RM4.7 bilion daripada aliran keluar bersih RM4.0 bilion pada suku sebelumnya, disebabkan oleh pengurangan ekuiti dan pinjaman diterima dari luar negara,” katanya.

Menurut Mohd Uzir, sektor utama yang menyumbang kepada aliran masuk adalah aktiviti kewangan, dan perlombongan dengan tiga negara utama aliran masuk DIA adalah dari Mauritius, Switzerland dan Austria.

Mengenai pelaburan terkumpul, beliau menjelaskan, pada akhir suku ketiga 2021, kedudukan FDI meningkat sebanyak RM39.3 bilion kepada RM769.6 bilion, manakala kedudukan DIA adalah RM543.9 bilion.

“Kedudukan Pelaburan Antarabangsa (IIP) Malaysia terus mencatatkan aset bersih sebanyak RM68.1 bilion manakala rizab antarabangsa Malaysia meningkat kepada RM482.5 bilion daripada RM461.5 bilion pada akhir suku sebelumnya,” tambahnya. - Bernama