Sentiman Sabah keluar Malaysia bukan pendirian kerajaan Sabah

Hajiji menyampaikan bantuan wang ihsan kepada salah seorang mangsa banjir di Dewan St Augustine, Kinarut, Papar pada Jumaat.
Hajiji menyampaikan bantuan wang ihsan kepada salah seorang mangsa banjir di Dewan St Augustine, Kinarut, Papar pada Jumaat.
A
A
A

PAPAR - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan sentimen yang dimainkan pihak tertentu berhubung gerakan Sabah keluar daripada Malaysia bukan pendirian kerajaan negeri.

Beliau turut menyatakan bahawa Sabah kini dalam satu negara yang dibentuk bersama dengan Sarawak dan negeri-negeri lain di Semenanjung.

"Saya nyatakan, kita ini dalam satu negara. Negara Malaysia yang kita bentuk bersama-sama Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung.

"Jadi apabila kita membentuk sebuah negara, maka kita akan pastikan negara ini menjadi negara kita yang memberi harapan dan juga masa hadapan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, keturunan serta kepercayaan mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Dewan Gereja Saint Augustine's Kinarut pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung isu yang ditimbulkan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman berhubung sentimen akan ada gerakan rakyat Sabah keluar daripada Malaysia ketika dalam perbahasan Bajet 2022, di sidang Parlimen pada Selasa lalu.

Hajiji bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung sentimen yang dimainkan pihak berkenaan.

"Itu dia punya sentimen (Mohd Azis), bukan sentimen kerajaan, jadi saya tidak boleh komen lanjut mengenai perkara tersebut.

"Soal lain tidak timbul, kita pastikan negara ini akan terus wujud dan kekal selama-lamanya untuk rakyat kita seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bercakap mengenai program yang dihadirinya, Hajiji berkata, seramai 100 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir diberi bantuan sebanyak RM1,000 setiap seorang.

"Hari ini, saya berkesempatan untuk menyampaikan bantuan daripada kerajaan kepada 100 penerima daripada 446 orang yang menjadi mangsa banjir.

"Kita amat prihatin dengan apa juga masalah rakyat terutamanya mereka yang menghadapi banjir baru-baru ini, kita tidak akan membiarkan rakyat kita menghadapi kesusahan kerana sudah menjadi dasar kita untuk memberi apa juga bantuan yang termampu," katanya.

Sebelum itu, beliau turut mengumumkan peruntukkan sebanyak RM300,000 untuk menurap kawasan gereja dan Dewan St Augustine berkenaan.

"Ketika masuk ke kawasan gereja dan dewan ini, saya mendapati sekitar kawasan ini masih belum berturap sekali gus tidak memberi keselesaan kepada masyarakat di sini terutama apabila hujan (berlumpur).

"Oleh itu, hari ini saya mengumumkan bahawa kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk tujuan ini. Ia bagi memberi keselesaan kepada penduduk setempat," katanya.