TVET mampu bantu keluar daripada kitaran kemiskinan

Yuneswaran
Yuneswaran
A
A
A

SHAH ALAM - Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada golongan berpendapatan rendah (B40) bakal membuka lebih banyak peluang kepada mereka untuk keluar darpada kitaran kemiskinan.

Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran berkata, inisiatif itu juga mampu mengurangkan jurang kelas pendapatan antara masyarakat dalam mewujudkan rakyat yang saksama serta berdaya saing.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah sebutkan bahawa beliau dan barisan kabinet sedang bertungkus-lumus menoktahkan miskin tegar dan cabaran itu amat besar.

“Perlu diingatkan miskin bandar adalah kelompok yang terbesar dan kebanyakannya adalah graduan kerana mereka tinggal di bandar.

“Oleh itu kerajaan sedang berusaha untuk melaksanakan sesi libat urus bersama syarikat korporat dan swasta agar dapat membantu golongan anak muda menerusi TVET,” katanya pada program Wacana Sinar edisi 395 bertajuk ‘Makan Gaji vs Kerja Sendiri’ yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Selasa.

Wacana Sinar Siri 395 membincangkan Makan Gaji VS Kerja Sendiri’, dari kiri Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran; Pakar Motivasi Keseimbangan Hidup dan Keusahawan, Dr Hasnorliza Hassan (dua kiri) dan Timbalan Naib Presiden Program Wanita TalentCorp, Dinatra Mohd Saat (kanan) yang berlangsung di Studio Sinar Harian hari ini. Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.
Wacana Sinar Siri 395 membincangkan Makan Gaji VS Kerja Sendiri’, dari kiri Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran; Pakar Motivasi Keseimbangan Hidup dan Keusahawan, Dr Hasnorliza Hassan (dua kiri) dan Timbalan Naib Presiden Program Wanita TalentCorp, Dinatra Mohd Saat (kanan) yang berlangsung di Studio Sinar Harian hari ini. Foto Sinar Harian / Asril Aswandi Shukor.

Turut diundang menjadi panelis adalah Pakar Motivasi Keseimbangan Hidup dan Keusahawanan, Dr Hasnorliza Hassan dan Timbalan Naib Presiden Program Wanita TalentCorp, Dinatra Mohd Saat manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Yuneswaran berkata, beliau turut membawa isu pemerkasaan TVET kepada golongan banduan dalam sidang Parlimen sebagai usaha membantu golongan berkenaan meneruskan kehidupan selepas keluar dari penjara.

“Saya ada mencadangkan dalam Parlimen supaya TVET turut diwajibkan kepada banduan juvana agar masa depan mereka lebih terjamin.

“Memandangkan golongan belia yang berumur antara 18 hingga 35 tahun ramai jatuh dalam kategori miskin bandar, maka pemerkasaan ini (TVET) amat penting dan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, masyarakat sivil dan agensi terlibat agar aspirasi negara tercapai,” ujarnya.